22 October 2011

Kisah Kasih


Assalamualaikum wbt.

Entah dari mana saya ingin bermula. Rasa semuanya nak ditulis, tapi sejak petang tadi merangka, masih tiada pembuka kata yang sesuai. Sekian lama menyimpan, rasa perlu meluahkan disini. Yang nyata, saya tidak pernah meminta umum membaca cerita peribadi saya, apatah lagi untuk berpura-pura. Niat asal saya menulis blog, hanya untuk mengisi masa lapang saya semasa di kampus. Post-post saya dahulu, banyak saya salin dari blog kegemaran. Tapi setelah zaman kampus saya tinggalkan, setelah bermacam masalah saya dihadapkan, juga berbagai ragam insan yang datang, saya ingin berkongsi disini. Untuk diri saya, dan kepuasan diri saya sendiri.

Sejak kebelakangan ini, saya rasa tidak tenang. Saya rasa ada saja yang tidak kena dengan setiap perkara yang saya lakukan. Ya, semuanya berpunca dari hati. Hati lah yang menjadi asas kegelisahan ini. Suatu malam, selepas menunaikan solat isyak kira-kira jam 12 tengah malam saya menangis semahu-mahunya. Saya lepaskan segala yang terpendam itu di atas tikar sejadah. Basah hamparan sejadah dengan airmata yang tak henti-henti tumpah. Ya Allah, lemah sungguh hambaMu ini. Baru sedikit hati dijentik, terduduk bagai tak mampu berdiri lagi. Malam itu, airmata hiba menemani peraduan saya. Paginya, saya melangkah ke pejabat dengan mata lebam dan tak bermaya. Walau hodoh, tapi bagi saya itulah terapi. Siang 12 jam itu berlalu dengan penuh mendung.

Astaghfirullah.

Saya memang menanti dia. Selama hampir 10 bulan ini, saya sabar menanti dia. Saya ikhlaskan hati dalam menjaga perhubungan ini. Saya tetapkan niat di dalam diri supaya saya menerima hebatnya aturan Pencipta. Dan selama itulah saya merasa bahagia. Memang pelik, apabila kita menyimpan sayang pada makhluk tuhan yang tak pernah muncul di hadapan mata. Saya tepis fikiran negatif, lalu menggantikan rasa itu dengan doa pada Dia. Sehinggalah pada April lalu bila saya menjadi tetamu Allah. Saya pohon diberikan petunjuk dan dipermudahkan urusan hati dan perasaan ini. Alhamdulillah, pulang dari Haramain, saya nekad untuk terus menanti. Namun segalanya adalah perancangan. Hanya Dia sebaik-baik perancang. Segala berubah bagai badai melanda. Awan hitam datang memusnahkan semuanya. Lalu apa lagi pilihan yang saya ada? 

Astaghfirullah.

Kakak usrah saya, rupanya memerhati. Lalu Kak Hannan memeluk saya dengan erat usai usrah petang sabtu itu. Dititipkan nasihat berharga, pesan supaya saya tidak berhenti dengan istikharah. Terus berdoa dengan sabar. Jangan gopoh mendahului takdir. Diminta saya mencari, apakah sebaik baik ta’aruf yang digalakkan. Perbincangan demi perbincangan, sekadar menemui kebuntuan. Perancangan dan angan-angan 10 bulan lalu bagai debu beterbangan. Tapi saya yakin, pasti ada pengakhiran hikmah yang sedang aAlah aturkan. Saya amat yakin dengan itu. 

SubhanaAllah.

Saya tahu, Allah sedang merencana kehidupan yang lebih baik buat saya. Tak semua yang kita impikan, Allah beri percuma. Andai ingin makanan yang enak, maka lebih mahal nilai wang yang perlu dihulur. Begitu juga masa depan. Andai ingin masa depan yang indah, maka lebih mahal nilai sabar yang perlu diberi. 

Fitrahnya epal merah, di saat kita mula menggigitnya, pasti ada sedikit masam yang kita rasa. Tapi tidak lama. Selepas jusnya kita peroleh, yang manis-manis saja kita rasakan. Saya nekad. Saya mahu terus bertahan dengan rasa masam yang ada. Kerana saya mahu menikmati manisnya epal itu di kemudian hari. DENGAN SEPENUH HATI. 




Saya rasa serba tidak kena. Saya rasa ini bukan diri saya.

Nota 1: Saya berkecil hati lagi. 

Nota 2: Munirah, jagalah hati sendiri.

No comments:

Post a Comment