04 February 2011

Diam itu sebenarnya bisa mengangkat darjatmu


Adakalanya diam dalam sesuatu pertanyaan bukanlah pengabaian berterusan. Kata-kata bukanlah satu lontaran mudah, semudah memulangkan pukulan bola tangkis di utara dengan pemukulnya. Hatta sebaris kata-kata akan meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat si pendengar setia.

Adakalanya diam dalam sesuatu perdebatan adalah lebih baik daripada menambah rasa dan bicara kerana perdebatan yang tiada penghujungnya hanya mengundang amarah dan komplikasi yang jauh lebih sulit untuk diubati dan mengundang murka.

Imam Hasan Al-Banna menyatakan dalam wasiatnya:

"Janganlah kalian berbanyak debat dalam soal apa pun dan bagaimanapun, sebab perdebatan tidak membuahkan kebaikan"

Adakalanya perbualan itu hanya sia-sia. Langsung tidak membuahkan keimanan dan membenihkan takwa malah menambah dosa di akhirat sana. Tika ini diam dan berjauhan itu adalah lebih baik daripada sibuk menganyam 'ketupat' saudara sendiri.

Adakalanya menyendiri itu lebih baik daripada kesibukan bersama manusia. Inilah peluang dan ketika anda berfikir dan bermuhasabah. Namun sebenarnya anda tidak sendiri. Anda bersama Allah mengoreksi diri. Ke manakah perginya kata-kata dan tenagamu? Ke jalan syurgakah amalan-amalan mu?. Namun bukanlah ini tandanya anda harus bersara daripada amal kebajikan di dunia.

Sungguh bermacam-macam perbualan, pertanyaan dan perdebatan yang kadang-kadang bukanlah mudah dibawa dan dijaga keharmoniaannya. Perhatikanlah amalan yang dibawa oleh mulut kita. Boleh jadi kerana mulut badan binasa. Diam itu bukan bermakna kita berhenti daripada berfikir akan tetapi terus dan terus berfikir dan lebih kepada membetulkan bicara, sikap dan memantau "kesihatan iman & takwa".

Justeru adakah rawatan sempurna, melainkan kembali kepada Allah Yang Maha Mencipta?

No comments:

Post a Comment