29 January 2011

Guide my steps don't let me go astray...

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Illahi, kerana tidak putus-putus dihadirkan peringatan untuk membangunkan diri. Dalam menghadapi realiti kehidupan, pelbagai ujian yang akan bertamu. Adakala senang, adakala susah. Sukar sekali untuk kita melupakan waktu getir dalam kehidupan. Sudah sunnatullah begitulah aturan kehidupan. 

Saat ini, capailah sehelai kertas mahupun diari peribadi. Tulislah azammu. Biar dihitam putihkan. Senang untuk kita menilai sejauh mana pelaksanaannya. Barulah kita dapat mengukur kejayaan.

Merancang kehidupan untuk menjadi insan yang dikasihi Allah dan disayangi seluruh makhluk di langit dan di bumi sudah pasti menuntut pengorbanan dan perubahan. Dan dari situlah, bermulanya sebuah perjuangan.

Pertembungan nafsu dan Iman.
"Dan diantara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha penyantun pada hamba-hamba-Nya" (Al-Baqarah:207) 

Mengapa nafsu dan Iman? Cuba kita lihat dan perhati. Saat kita ingin belajar, ingin benar menjadi pelajar cemerlang, kita dilanda kemalasan yang bersangatan. Itu bisikan nafsu bukan, mahu bersenang-lenang. Saat kita ingin beribadah, ingin menunaikan solah, ingin membaca Al-Quran, saat itulah kita lebih enak memilih tidur. Liat sungguh untuk bangun dari mimpi indah. Saat diajak ke usrah, saat itulah hati berat untuk pergi kerana masih banyak filem dan drama yang perlu ditontoni. Itulah pertembungan nafsu dan iman. Hakikatnya inilah ragam dan pertembungan yang berlaku. Akhirnya penyesalan yang tiada makna melanda diri akibat perbuatan dan pilihan sendiri.

Merindui diri yang dahulu...

Ya saya merindui diri yang dahulu kerana di situ ada keyakinan yang  saya sendiri sudah lupa bagaimana coraknya. Yang saya tahu, Munirah hari ini tidak sama dengan Munirah 10 tahun yang lepas. Keyakinan itu yang memandu diri untuk mencipta kejayaan demi kejayaan di masa lampau. Namun hari ini saya rasakan seperti kehilangan sebahagian daripada episod silam hidup, keyakinan itu kekadang sama-samar diulit debu-debu Kota Sintok ini. Tahun ini saya berazam untuk mencari semula keyakinan dan kepercayaan diri. Saya tahu saya mampu mengorak lebih jauh. Bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada, cuma ingin buat yang lebih baik dan yang terbaik. Apa yang perlu, saya mesti percaya, usaha dan InsyaAllah akan berjaya. Saya sendiri jelas sumber kekuatan utama adalah Allah. Namun, semakin kita mencuba mendekati Allah, menjelaskan matlamat, semakin hebat ujian yang Allah beri. Sungguh diri ingin kuat seperti dulu, ingin mencari fokus dan istiqamah. Ya Allah bantulah hamba-Mu yang lemah ini.

Hadis Qudsi ada menyebut Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku...." (Sahih Bukhari)

Menghargai diri yang sekarang


Alhamdulillah, diri ini banyak mengalami perubahan dari pelbagai sudut. Ilmu kian bertambah. Pengalaman kian banyak. Idea kian bercambah. Syukur diberi kesejahteraan untuk meningkatkan diri hingga hari ini. Allah yang banyak mendidik hati. Dihadirkan sisi gelap sebagai peringatan untuk mendidik diri, mengajar diri untuk tabah, mengajar diri untuk redha dengan ketentuan-Nya. Biarpun sudah banyak titisan air mata menemani sepanjang perjuangan, namun air mata itulah yang menenangkan kembali hati, mengubat luka-luka dengan rawatan mujarab iaitu merasai kekerdilan diri. Moga Allah benar-benar memimpin diri ini. Lemah sungguh tanpa bantuan-Nya. Dihadirkan sisi bahagia pula sebagai peringatan untuk mendidik diri, mengajar diri bersyukur, mengajar diri untuk menghargai peluang yang diberi. Hakikatnya Allah juga sebaik-baik perancang. Dialah yang mendidik kita selama mana kita bergelar hamba. Allah tahu apa yang terbaik. Maka  saya dan kalian perlu percaya. Ayuh bina keyakinan dan percaya diri.

"Allah adalah Pelindung orang-orang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) menuju cahaya (iman)..." (Al-Baqarah: 257)

Mengharapkan satu perubahan yang lebih baik pada masa hadapan

Dulu, kini dan akan datang semua adalah pelengkap ‘puzzle’ kehidupan. Diriku dulu, kini dan akan datang adalah sangat berharga untuk Hari Penentuan. Moga amal-amal yang terhimpun tidak sia-sia. Rahmat Allah juga diperlukan untuk menjadi Ahli Syurga. Doa kalian amat ku harapkan. Sama-sama mendoakan.
Dan sebelum terlambat, ucapan terima kasih tak terhingga buat insan-insan ini..
Rindu pelukan kasih dari ayah....
bonda, apa saja akan kulakukan demi menyeka airmatamu..


kakak, dirimu inspirasi terulung dihati..


kalian sangat menyenangkan....

sahabat dan seorang abg yang hebat... moga Allah memberkatimu...


No comments:

Post a Comment