Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts

28 February 2011

Dimensi Lafaz Talbiah 6


Asykuruka Ya Rabby...

Ya Allah..Alhamdulillah, aku seorang Muslim
Ya Allah..Alhamdulillah, aku hidup sekarang
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat bernafas sekarang
Ya Allah..Alhamdulillah, aku sihat sekarang
Ya Allah..Alhamdulillah, aku sempurna fizikal
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada rumah
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada ibu dan bapa
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat makan
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat minum
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat pakaian
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada kerja
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat bersekolah
Ya Allah..Alhamdulillah, aku hidup dalam keadaan aman
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat berhibur (cara yang terbatas)
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada sahabat
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat tidur dengan nyenyak
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat menikmati udara segar
Ya Allah..Alhamdulillah
Ya Allah..Alhamdulillah!

Fikirkan, ramai manusia yang mengakui dia Islam, tetapi, adakah dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam? Adakah hidupnya mengikut cara Islam? Solat 5 waktu? Puasa? Baca Al-Quran? Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?

Fikirkan, kita sedang bernafas sekarang, adakah kita gunakan hayat kita dengan sebaiknya? Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?

Fikirkan, kita sihat, tanpa penyakit buat masa sekarang, adakah kita gunakan masa sihat kita dengan sebaiknya? Dan adakah kita marah atau mengeluh dengan Allah jika kita ada penyakit? Ingat, penyakit merupakan tanda kasih Allah supaya kita ingat pada-Nya..SubhanAllah.. Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?

Fikirkan, kita ada rumah, makanan, minuman,pakaian dan pelbagai nikmat dari segi harta.. adakah kita makan dan minum, kita mulakan dengan Bismillah? Adakah kita menutup aurat ketika berpakaian dan kerana Allah Ta'ala? Adakah kita berhias mengikut cara Islam? Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?

Fikirkan, kita dapat berhibur (melalui cara terbatas), tetapi kadang-kadang kita terlupa, terlebih berhibur, lalai dan leka..

Fikirkan, kita hidup di Malaysia.. negara yang aman daripada peperangan (tidak termasuk perang politik). Kita dapat tidur dengan nyenyak, tiada bunyi bom, pistol dan segala jenis senjata. Tidak seperti di Iraq, Bosnia dan sebagainya. Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini? Seperti dalam Surah Ar-Rahman..Allah menekankan ayat ini sebanyak 31 kali.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang mana satukah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman)

Kerana manusia itu mudah lupa, lalai dan leka dengan nikmat Allah yang terlalu banyak ini sehingga tidak terkira. Kadang-kadang kita lupa nak ucapkan:

"Terima kasih ya Allah! Terima Kasih! Alhamdulillah, nikmat yang Engkau berikan kepada ku amat banyak! Syukran ya Allah!"

Kadang-kadang kita lupa nak berterima kasih kepada Allah dengan cara beribadah kepada-Nya..kita lupa...lalai..

Kadang-kadang kita terlalu banyak merungut, "Kenapa aku tak dapat yang ini? Kenapa Allah kasi aku yang ini?!"

Tetapi kita tidak sedar, kita tak tanamkan dalam diri bahawa Allah itu Maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.. Kadang-kadang kita tidak sedar, Allah hanya meminjamkan kekayaan Dia kepada kita, tetapi kita? Dengan kekayaan itulah kita gunakan untuk menentang Tuhan Yang menciptakan alam ini.. Na'uzubillah..

22 February 2011

Dimensi Lafaz Talbiah 5

Ya Allah berilah aku rasa redha terhadap segala keputusanMu dan berkatilah segala apa yang kau berikan padaku. Sehingga aku tiada suka mempercepatkan apa yang kau lambatkan dan melambatkan apa yang kau percepatkan. Ya Allah, tunjukkanlah kepadaku bahawa yang benar itu benar. Ya Allah berikanlah kejernihan hati agar aku dapat mengenal hal-hal yang dusta. Ya Allah aku meminta kepadamu kelembutan dan ketentuan takdirMu. Berilah aku petunjuk untuk memberikan keputusan. Ya Allah, aku memohon kepadaMu, engkau berikanlah aku kelangsungan hidup yang menjadikan aku senantiasa dekat denganMu. Ya Allah, aku memohon kebaikan yang telah diminta oleh hamba hamba yang soleh. Ya Allah, aku meminta pendamping hidup yg terbaik sebagaimana hamba hambaMu yg soleh meminta pendamping hidupnya. Ya Allah, aku berlindung kepadMu dari fitnah lelaki. Ya Allah, jagalah kesucian diriku dan pertemukan aku dengan pendamping hidup yang soleh dan bisa menjaga kesucian dirinya dan bisa menjaga kesucian diriku.Ya Allah, tunjukkan kepada kami apa yang benar dan jadikan pilihan kami mengikuti apa yang benar itu. Dan juga tunjukkan kepada kami apa yang tidak benar, dan permudahkanlah kami meninggalkannya.. Amin amin Ya Rabbal Alamin...

Haramain: 13 days more to go

Bila kau letih dan hilang rasa semangat,
Allah tahu betapa mu telah mencuba sedaya upaya,
Bila tangisan berpanjangan dan hati mu kedukaan,

Allah telah mengira titisan airmata mu,
Bila kamu rasa ketinggalan dan masa meninggalkan mu,

Allah sentiasa di sisi mu,

Bila kau telah mencuba segala nya tapi,
tak tahu arah tujuan,

Allah ada jalan penyelesaian nya,
Bila tak ada yg bererti buat mu, keliru dan kecewa,
Allah ada jawapannya.....

“Laa tahzan innallaha ma’anaa..."

21 February 2011

“Manusia semuanya tidur, bila mati baru mereka terjaga"

Kekadang kita terkejut dengan ungkapan-ungkapan yang kedengarannya begitu aneh. Ungkapan yang bukan dilahirkan oleh orang yang biasa, tetapi manusia yang luar biasa. Mereka yang mengucapkannya adalah hukama, ulama dan bijak pandai yang begitu arif tentang kehidupan. Ada ungkapan yang berbunyi:

“Barang siapa yang ingat mati akan hidup… tetapi mereka yang ingat hidup akan mati.”

Ah, aneh. Mengapa begitu ya… Mari kita telusuri apa makna tersirat di sebaliknya. Bukan sekadar untuk bermain dengan kata-kata tetapi dengan berpijak pada ilmu dan pengalaman yang nyata. Justeru kata-kata itu hanya membenarkan sahaja apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya:

“Yang paling banyak mengingati kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.
Riwayat Imam Ibnu Majah

Mari kita kembara seketika untuk mengungkap cebisan rahsia kematian dan kehidupan yang hakikat adalah ujian bagi setiap insan. Firman Allah:

“Dia yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji antara kamu siapakah yang terbaik amalannya.”

Apakah kaitan antara hidup dan mati? Apakah rahsia di sebalik kata-kata bahawa mati itu adalah tunang kepada kehidupan? Justeru, marilah kita ‘kembali’ sebelum pergi menemui kehidupan yang abadi!
Sayidina Ali karamallahuwajhah pernah berkata:

“Manusia semuanya tidur, bila mati baru mereka terjaga (tersedar).”
 
Kata-kata itu sungguh dalam dan tersirat maknanya. Ia bermaksud, hanya apabila seseorang itu telah mati barulah hakikat atau realiti kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.

Pendek kata, mati adalah ‘program realiti’ yang benar-benar realiti. Setelah roh berada di alam barzah (yakni alam kubur yang menjadi sempadan antara dunia dan akhirat), barulah kebanyakan manusia sedar apakah perkara yang benar-benar bernilai dalam hidupnya ketika hidup di dunia. Bila mata yang ada hancur dimamah bumi, maka ketika itulah matahati yang alpa selama ini tersentak… Terbeliak, lalu ketika itu barulah terserlah yang mana ‘intan’, yang mana ‘kaca’?

Menjelang kematian, setiap diri akan akur betapa bernilainya kebaikan dan kebajikan. Itulah hakikatnya intan yang selama ini dianggap kaca. Dan pada saat itu barulah kita sedar betapa intan yang selama ini kita puja hakikatnya kaca yang tidak berharga. Itulah perbuatan dosa dan perkara yang sia-sia. Alangkah ruginya ketika hidup di dunia. Kita tersentak!

Manusia baru tersedar apakah hakikat kehidupan yang sebenar setelah kematian. Dan lebih malang lagi rupa-rupanya baru pada ketika itu manusia menyedari bahawa mati sebenarnya bukanlah satu pengakhiran, tetapi ia adalah satu permulaan kepada satu kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi (hidup di akhirat kekal abadi).

Manusia telah diingatkan bahawa di alam roh kita telah mengenal Allah. Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172

Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob yang sebenar (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan jatuh cinta kepada-Nya.

Namun alangkah sedikitnya manusia yang benar-benar mengenal Allah. Kebanyakan manusia hanya ‘mengetahui’ tetapi tidak mengenali-Nya. Mengenal dan mengetahui itu jauh berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Mengenal hanya memahami, tetapi mengenali akan merasai. Kebanyakan kita hanya mengetahui Allah Maha Melihat, tetapi tidak merasai Allah Maha Melihat. Justeru, kita masih tega dan tergamak melakukan kemungkaran walaupun kita tahu Allah Maha Melihat.

Bermula da Di alam roh dahulu hati kita yang telah mengenal Allah. Pendekata, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah. Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu ramai manusia yang mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta palsu.

Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu ramai manusia yang mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta palsu.

Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi… Semakin bertambah usia, semakin jauh jarak perpisahan itu.

Pepatah Arab ada mengatakan, manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Jadi, bila cinta itu sudah tersalah, maka tersalah jugalah ramai manusia meletakkan sifat kehambaannya. Hidup beralih arah, daripada menghambakan diri kepada Allah kepada ‘menyembah’ hawa nafsu. Firman Allah:

“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?”
Al-Furqon 43

Akibatnya, tujuan hidup telah tersasar. Ini kerana hanya manusia yang menyedari adanya Tuhan dan memperhambakan diri kepada-Nya sahaja, akan mempunyai tujuan hidup yang tepat dan jelas. Manusia tidak akan tahu apa tujuan hidup, kerana manusia tidak pinta dihidupkan. Allah yang menghidupkan kita, maka Allah jualah yang Maha Mengetahui untuk apa manusia dihidupkan. No God, No purpose! – tanpa Tuhan tidak ada tujuan.

Setelah terantuk (mati), barulah dia terngadah (sedar). Rupa-rupanya apa yang diburu selama ini hanyalah kepalsuan manakala apa yang dihindari adalah kebenaran. Ah, betapa tersasarnya langkah hidup selama di dunia, setelah mati baru terjaga. Pada ketika itu jugalah ramai yang mengharapkan agar dapat pulang ke dunia semula. Minta untuk dipanjangkan umur, bagi menukar perbuatan yang buruk selama hidup di dunia dulu dengan amalan kebaikan.

Di alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’ kepada kita, barulah kita terjaga daripada buaian ‘mimpi’ selama ini. Tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa hakaikatnya hidup ini adalah untuk menghambakan diri kepada Allah – beribadah kepada-Nya. Rasa ingin bertaubat singgah dengan tiba-tiba. Terasa dosa yang dilakukan begitu banyak, bagaikan bueh di lautan.

Sayangnya, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana pada saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Jadi, kesedaran itu mesti dirasai semasa hidup di dunia lagi, barulah ia mempunyai makna dan berguna. Apabila hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran akan hakikat kematian, maka barulah seorang manusia akan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan.

Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya berlaku di alam kubur , maka segala-galanya sudah terlambat. Jadi bertaubatlah sebelum terlambat, kembalilah ketika masih sempat! Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang bijak. Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang hidup. Merekalah orang yang berani. Dan orang yang berani tidak pernah mati – the brave never die!

Bagaimana untuk mengembalikan semula manusia kepada asas dan teras jati dirinya yakni sebagai hamba Allah? Atau rengkasnya, bagaimana hendak mencapai ketenangan dalam hidup yang serba mencabar ini? Inilah yang menjadi teras persoalan dalam nasyid yang bertajuk ‘Kembali’ ini. Kembali di sini bermaksud, kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah.

Roh yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Hati yang tenang ialah hati yang mengingati Allah. Firman Allah:

“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
Ar-Ra’du: 28

Inilah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga selalunya perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat, kita rela menelan kepahitan, kita rela menanggung ke[peritan berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua itu enak rasanya. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stresss… kita ikuti, patuhi walaupun begitu ‘berat’ untuk mendapat sihat.

Maka begitulah jalan untuk ‘mengubat’ hati. Penawarnya juga pahit. Ubat hati jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati? Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia. Kata ulama, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras. Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit.

Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan nama-Nya yang baik dan mulia. Ingat, ilmu wahyu akan menerangi hati, manakala ilmu dunia akan menerangi kehidupan. Hakikatnya ubat hati ialah ilmu-ilmu yang diambil daripada Al Quran.

Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah mendirikan solat. Solat lima waktu adalah silah (penghubung) antara hamba dengan Tuhan. Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segala gerakan dan bacaan itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri bersungguh-sungguh.

Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi. Apatah lagi ‘penawar’ yang datang daripada Allah – Tuhan yang mencipta kita. Al Quran dan solat tentulah akan lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingatlah solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya. Ingat selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain, no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah jalannya… jalan mujahadah.

Seperti sakit fizikal yang perlu pada pantang larangnya, begitu jugalah ‘sakit hati’ , juga ada pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi oleh makan ‘racun’. Maksudnya, apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan? Atau pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga minum teh tarik yang manisnya keterlaluan? Penyakit tidak akan sembuh, jika melanggar pantang. Bahkan, pengamal perubatan sering menegaskan bahawa berpantang lebih baik daripada berubat.

Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga. Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Sebaik-baiknya carilah kawan yang seiya sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.

Untuk buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Untuk buat baik perlu ada ‘jamaah’ – kumpulan yang bersatu untuk melakukan kebaikan. Bila ada perkumpulan, usrah atau jamaah, maka tentu ada program-program yang tersusun dan berkala. Program yang positif boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu Ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh perkumpulan itu.

Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’. Bahkan rasululah SAW sendiri pernah menegaskan bahawa nikmat yang sering memperdayakan manusia ialah masa lapang dan kesihatan tubuh badan.

Masa lapang ini perlu diisi dengan kesibukan belajar menuntut ilmu dan pelbagai usaha untuk memperbaiki diri. Dengan adanya program-program ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan. Mula-mula kita membentuk program dan akhirnya program akan membentuk kita. Inilah pentingnya program yang baik, kita akan terdisiplin melakukan kebaikan walaupun ada masa-masanya kita diserang rasa jemu, malas dan godaan-godaan jahat.  Inilah sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang muda masa kini

Kata Sayidina Ali lagi:
“Beramallah ketika di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi hanya ada amalan (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada amal (akhirat).”

Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur, yang mana pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi. Berjuanglah menghadapi kemalasan dan kejahatan diri sendiri. Malulah kalau kita kalah dengan diri sendiri. Jangan hanya malu jika ‘kalah’ dengan orang lain. Biasanya orang yang menang dalam bertanding dengan dirinya sendiri akan menang juga dalam pertandingan dengan orang lain – Only me can beat me!”

Benar, anda sahaja boleh mengalah diri anda sendiri. Jadi bertandinglah dengan diri sendiri, dengan mengalahkan rasa malas, menundukkan sifat malu tidak bertempat, mengatasi rasa takut yang tidak kena pada masanya dan lain-lain sifat negatif. Jangan terkeliru dengan anggapan bahawa remaja hanya sekali, lalu kita mesti ‘enjoy’ sepaus-puasnya. Remaja sebenarnya dua kali – satu di dunia, satu lagi di akhirat. Remaja di dunia akan diakhiri oleh usia tua. Tetapi remaja di akhirat kekal selama-lamanya (ahli syurga semuanya dalam usia remaja).

Gunakan masa remaja di dunia untuk mencapai keremajaan yang lebih bermakna di akhirat. Oleh itu kembalilah!


RINDU DAN CINTA UNTUK SIAPA?

Cintailah DIA lebih dari mencintai dia kerana dia tidak akan wujud tanpa adanya DIA

Berbicara tentang rindu dan cinta, tidak dapat lari daripada soal hati dan rasa. Ya, rindu dan cinta letaknya di hati – raja dalam kerajaan diri manusia. Sabda Rasulullah saw:

“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari

Ini bermakna, rindu dan cinta yang harus bersemi di hati mestilah rindu dan cinta yang ‘baik’. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tapi jika rindu dan cinta itu ‘jahat’ maka jahatlah hati. Akibatnya jahatlah seluruh anggota. Kata orang, “berhati-hatilah menjaga hati.” Jangan dibiarkan hati itu penuh dengan rindu dan cinta yang salah… akibatnya terlalu buruk.

Umpama menyerahkan kepimpinan negara kepada seorang yang jahat. Kita tentu tahu apa akibatnya bukan? Pemimpin yang jahat akan melakukan kemungkaran, penzaliman, rasuah dan lain-lain kejahatan yang akan menghancurkan sebuah negara. Maka begitulah hati yang jahat, akan menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan. Jadi, berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati memberi cinta dan rindu.  

Sebenarnya, pada siapa kita harus cinta? Pada siapa kita mesti rindu? Mungkin ada diantara kita yang tertanya-tanya. Pada kekasih hati? Atau si dia yang sentiasa diingati. Oh, bukan, bukan… Sebenarnya hati setiap manusia secara fitrahnya mencintai dan merindui Allah. Kenapa dikatakan begitu? Dan benarkah begitu? Baiklah, mari kita fikirkan dan renungkan bersama…

Setiap hati inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusiapun yang tidak inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan. Ketika dipinggirkan, kita inginkan kasih-sayang. Ketika dizalimi, kita inginkan keadilan. Baiklah, hakikat itulah bukti yang sebenarnya manusia cinta dan rindukan Tuhan. Justeru, Tuhan sahaja yang memiliki segala-gala yang diingini oleh manusia.

Bukankah Allah memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin? Allah mempunyai kasih sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah Maha Adil dan mampu memberi keadilan yang didambakan oleh yang tertindas. Oleh kerana itulah Tuhan mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna), yang menggambarkan keindahan, keadilan, kasih-sayang yang segala sifat kesempurnaan-Nya. Diantara nama-nama Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha Adil)? Al Ghani (Maha Kaya)? Ar Rahman (Maha Pengasih)? Dan Ar Rahim (Maha Penyayang)?

Sebutlah… apa sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan, maka di situ sebenarnya (secara langsung ataupun tidak), manusia sedang merindui dan mencintai Allah. Inilah rasa yang tidak dapat dihapuskan. Selagi manusia punya hati dan perasaan. Rasa bertuhan inilah yang menurut Imam Ghazali, tidak akan dapat dinafikan oleh hati sekalipun kerap dinafikan oleh sifat keegoan manusia.

Inilah benih rindu dan cinta yang telah dibina (‘install’) secara fitrah (tabie) dalam diri setiap manusia sejak di alam roh lagi. Firman Allah:

“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172

Jadi sedarlah. Apabila hati kita resah dan gelisah inginkan pembelaan, hakikatnya pada ketika itu hati kita sedang merindui yang Maha Adil. Ketika kasih-sayang terputus atau cinta terkandas, kita inginkan sambungan… maka ketika itu sebenarnya kita sedang merindui Ar Rahman dan Ar Rahim (Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang). Ketika bersalah, kita merintih inginkan keampunan dan kemaafan, maka pada saat itu kita sebenarnya merindui Al Ghafar (Pengampun) dan mencintai Al Latif (Maha Lembut).

Semua keinginan itu hanya akan dapat dipenuhi apabila manusia merapatkan dirinya kepada Allah. Allah yang punya segala-galanya itu. Allah sentiasa mahu dan mampu memberi apa yang diinginkan oleh setiap manusia. Firman Allah:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
Al-Mukmin : 60
 
Menerusi nama-nama Allah yang baik inilah seharusnya kita merintih, merayu dan memohon kepada Allah. Firman Allah:

“Allah memiliki Asmaa’ ulHusna, maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama yang baik itu…”Al A’raaf : 180

Manusia hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah, tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang lain. Tegasnya, manusia tidak sempurna. Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.

Ya, ditegaskan sekali lagi bahawa keinginan manusia kepada satu kuasa yang Maha sempurna ini adalah lanjutan daripada ‘perkenalan’ dan ‘percintaan’ manusia dengan Allah di Alam Roh lagi (yakni alam sebelum alam dunia ini) . Bukankah sejak di alam roh lagi manusia telah mengetahui dan mengakui akan kewujudan dan keagungan Allah. Firman Allah:

“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.” Al-A’raf : 172
 
Itulah pertanyaan Allah sekaligus keakuran roh manusia atas pertanyaan itu. Ya, ketika itu semua roh manusia telah mengenali Allah. Bukan itu sahaja, bahkan roh manusia telah mengakui Allah sebagai pemilik, pentadbir dan pengatur alam ini. Inilah yang dimaksudkan cintakan Allah itu adalah fitrah setiap hati. Tetapi soalnya, mampukah cinta itu terus suci dan abadi di dalam hati setiap manusia?

Sungguhpun begitu, perkenalan dan percintaan manusia dengan Allah di alam roh itu kerap tercemar. Sebaik sahaja lahir ke alam dunia, manusia yang dulunya begitu mengenali dan mencintai Allah mula dipisahkan daripada kecintaan dan kerinduannya itu. Yang sejati luntur, yang ilusi muncul. Perkenalan dengan Allah mula dicemari. Manusia mula dipisahkan dari Tuhan. Dan amat malang, kerapkali yang memisahkan anak-anak daripada Allah ialah ibu-bapa anak-anak itu sendiri. :

“Setiap anak-anak dilahirkan putih bersih, kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”
 
Justeru, untuk mengelakkan agar cinta yang suci itu tidak terus dikotori… maka awal-awal lagi apabila seorang bayi dilahirkan, dia terlebih dahulu diazankan dan diiqamatkan. Inilah usaha awal untuk meneruskan perkenalan bayi itu dengan Allah. Tidak cukup sekadar itu sahaja, malah para ibu-bapa juga wajib mengenalkan kepada anak-anak mereka segala sifat kesempurnaan Allah secara mudah tetapi konsisten. Sabda Rasululah:

“Awal-awal agama ialah mengenal Allah.”
 
Alangkah indahnya jika semua itu berjalan lancar. Sejak kecil lagi putik cinta dan rindu Allah itu tumbuh, berbunga dan akhirnya berbuah apabila menjelang dewasa. Malangnya, ramai anak tidak diperkenalkan kepada Allah oleh ibu-bapanya. Sebaliknya, didedahkan kepada unsur-unsur yang melindungi kebesaran Allah. Seringkali, didikan, ajaran, malah lagu, filem, bahan bacaan yang didedahkan kepada anak-anak menggugat perkenalannya dengan Allah.

Akibatnya, kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak bersambung, bahkan tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa. Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya!

Bagaimanakah caranyanya membersihkan semula hati yang telah dicemari dan diracuni? Cukupkah hanya dengan ucapan dan penyesalan? Ya, usaha untuk membersihkan hati adalah usaha yang sukar. Tetapi hanya itulah satu-satunya jalan. Tidak ada jalan mudah untuk mendapat cinta itu semula. Setiap cinta menagih pengorbanan. Begitulah jua cinta Allah. Sabda Rasulullah:

“Iman itu bukanlah angan-angan, bukan pula ucapan, tetapi sesuatu yang menetap di dalam dada, lalu dibuktikan dengan perbuatan.”

Perjuangan itu pahit, kerana syurga itu manis. Kecintaan kepada Allah terlalu mahal. Bayangkan untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan, jejaka yang hartawan, putera yang bangsawan, itupun sudah terlalu sukar, maka apatah lagi untuk mendapat cinta Allah zat yang Maha Agung dan Maha Sempurna itu.

Siapa tidak inginkan kecantikan, harta, nama dan kuasa? Semua itu mahal harganya. Namun semua itu tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan cinta Allah – sumber segala kekayaan, kecantikan, kuasa dan keagungan. Cintakan gadis yang cantik, kecantikan akan luntur. Cintakan harta yang banyak, harta akan musnah atau ditinggalkan. Cinta pada kuasa, suatu hari pasti dijatuhkan atau berakhir dengan kematian.

Namun cinta Allah, adalah cinta yang hakiki, sejati dan abadi. Keindahan Pencipta (Khalik) tidak akan dapat ditandingi oleh ciptaannya (makhluk). Keagungan, kekuasaan dan kekayaan Allah akan kekal abadi selamanya. Bila kekasih di kalangan manusia sudah berpaling, maka sedarilah bahawa Allah tetap melihat dengan pandangan rahmat-Nya. Apabila kita mencintai Allah, kita hakikatnya akan memiliki segala-galanya. Inilah cinta yang tidak akan terpisah oleh kejauhan, kematian dan kemiskinan. Sebaliknya bila kita kehilangan cinta Allah, kita sebenarnya telah kehilangan segala-galanya.

Sekiranya kita telah disukai oleh seorang raja, maka anda akan turut disukai oleh pelayan-pelayannya, dikurniakan pangkat, dijamin makan-minum, bebas di bergerak di istananya dan macam-macam lagi kurniaannya. Maka begitulah sekiranya seorang yang mencintai Allah. Para malaikat akan menjaganya. Orang-orang soleh turut mendoakannya. Rezkinya akan dipenuhi dengan segala kecukupan dan keberkatan. Apa nak dihairankan? Bukankah ‘talian hayat’ kekasih-kekasih Allah ini sentiasa terhubung kepada satu kuasa yang tiada tolok bandingnya!

Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.”
(Sahih Bukhari)

Namun begitu, seperti yang ditegaskan sebelumnya, cinta Allah yang begitu agung dan suci, pasti ada tagihannya. Jalan mencintai Allah tidak semudah yang disangkakan. Sudah adat, setiap yang mahal, sukar mendapatkannya. Bandingannya seperti pasir dengan permata. Pasir, murah harganya… kerana ia boleh dicari di merata-rata. Sebaliknya, permata begitu tinggi nilainya, maka perlu menyelam ke dasar lautan untuk mendapatkannya.

Tidak ada kesukaran, tidak ada ganjaran. Begitulah jua dengan cinta Allah yang hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata. Justeru, pasti ada ‘harga’ atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkannya.

Untuk mendapat cinta Allah kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah sinonim dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar harga cinta itu dengan segala yang ada pada kita – masa, tenaga, harta bahkan nyawa. Namun apa yang lebih penting bukanlah masa, tenaga atau sesuatu yang berbentuk lahiriah. Itu cuma lambang sahaja. Yang lebih penting ialah hati di sebalik pengorbanan itu.

Lihat sahaja hati yang dimiliki oleh Habil berbanding Qabil dalam pengorbanannya untuk Allah. Hati yang bersih akan mengorbankan sesuatu yang terbaik untuk Allah. Lalu kerana ketulusan hatinya, Habil mengorbankan hasil ternakannya yang terbaik untuk Allah. Manakala Qabil pula menyerahkan hasil pertanian yang kurang bermutu untuk membuktikan cintanya yang tidak seberapa. Lalu ini menjadi sebab, Allah menolak pengorbanan Qabil, sebaliknya menerima pengorbanan Habil.

Kita bagaimana? Sudahkah kita mengorbankan segala yang terbaik hasil dorongan hati yang baik? Ke manakah kita luangkan masa, usia, tenaga, harta kita yang terbaik? Untuk kebaikan yang disuruh oleh Allah atau ke arah kejahatan yang dilarang-Nya? Tepuk dada tanyalah hati, apakah ada cinta yang mendalam di dalam hati itu?

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu”. Riwayat Muslim

Pengabdian kita kepada Tuhan adalah bukti cinta kepada-nya. Pepatah Arab mengatakan:

“Setiap orang menjadi hamba kepada apa yang dicintanya.”

Maksudnya, pengabdian adalah umpama ‘hadiah’ yang kita ingin berikan kepada Allah sebagai bukti cinta kita. Ia mesti didorong oleh hati yang bersih. Tidak dicemari riyak dan syirik. Maha suci Allah daripada dipersekutukan oleh hamba-Nya dengan sesuatu. Jika amal itu dicemari oleh kekotoran hati – riyak (syirik kecil), sifat menunjuk-nunjuk, syirik besar – mempersekutukan Allah) maka amalan itu tidak bernilai walaupun ia seluas lautan atau setinggi gunung.

Sebaliknya, jika hati seseorang itu ikhlas, amalnya yang sekecil manapun akan menjadi besar dan bernilai di sisi Allah. Insya-Allah, ‘hadiah’ itu akan diterima oleh Allah. Firman Allah:

“Barang siapa yang ingin menemui Tuhannya, hendaklah dia beramal soleh dan tidak mempersekutukan Allah dengan amalannya itu.” Surah Al-Kahfi: 110
 
Hakikatnya Allah Maha Kaya dan DIA tidak mengkehendaki apa jua manfaat daripada hamba-hamba-Nya sekalipun amalan dan kebaikan yang mereka lakukan. Maha Suci Allah daripada bersifat miskin – punya keinginan untuk mendapat manfaat daripada para hamba-Nya. Amalan dan kebaikan yang dilakukan oleh manusia bukan untuk Allah tetapi manfaat itu kembali kepada manusia semula. Bila kita solat misalnya, solat itu manfaatnya akan dirasai oleh kita juga. Firman Allah:

“Sesungguhnya sembahyang itu akan mencegah daripada kemungkaran dan kejahatan.”
Surah Al-Ankabut: 45

Ya, solat akan menyebabkan kita terhalang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Itulah manfaat solat. Itu amat berguna kepada diri manusia. Manusia yang baik akan dikasihi oleh manusia lain. Hidup yang selamat daripada kemungkaran dan kejahatan, adalah hidup yang tenang, aman dan bahagia.

Begitu juga apabila Allah menyuruh kita melakukan sesuatu atau melarang kita melakukannya, itu adalah kerana Allah ingin berikan kebaikan kepada kita bukan untuk-Nya. Inilah rasionalnya di sebalik pengharaman riba, arak, zina, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan lain-lain. Susah atau senangnya untuk manusia bukan untuk Allah. Tegasnya, jika patuh, manfaatnya untuk manusia. Jika engkar, mudaratnya juga untuk manusia.

Namun, walau sesukar mana sekalipun kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah, kita akan merasa mudah jika Allah sendiri memberi bantuan-Nya. Jika Allah sudah permudahkan, walaupun seberat mana sekalipun, kita akan mampu mengatasinya. Allah akan permudahkan kita dengan mengurniakan sifat sabar, istiqamah, syukur dan redha kepada-Nya. Lihatlah sejarah perjuangan para Rasul dan nabi serta sahabat-sahabat Rasulullah… kita akan tertanya-tanya mengapa mereka sanggup menderita, tersiksa bahkan terkorban nyawa untuk mendapat cinta Allah?

Renungilah betapa Sumayyah rela mengorbankan nyawanya. Begitu juga Mus’ab bin Umair, Hanzalah, Jaafar bin Abi Talib, Abdullah ibnu Rawahah… mereka semuanya telah syahid di jalan Allah. Apakah itu susah buat mereka? Mereka sangat menghayati apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Jagalah Allah, nescaya engkau akan temukan DIA di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika dalam keadaan lapang nescaya DIA akan mengenalmu dalam keadaan sempit. Ketahuilah segala sesuatu yang luput daripadamu tidak akan menimpamu dan sesuatu yang menimpamu tidak akan dapat luput darimu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu menyertai kesabaran, kelapangan itu menyertai kesempitan dan kemudahan itu menyertai kesukaran.” Riwayat Ahmad, Hakim, Thabrani, Ibnu Sunni, Ajiri dan Dhiya’
 
Mereka sesungguhnya merasa bahagia dalam mengharungi penderitaan, merasa mulia dengan mengorbankan nyawa. Ini semua mudah buat mereka kerana Allah telah melembutkan hati-hati mereka. Benarlah bila hendak seribu daya, bila mahu sejuta cara. Kemahuan dan keinginan mereka itu hakikat didorong oleh Allah. Untuk itu, mintalah simpati dari Allah untuk memudahkan kita mendekatkan diri kepada-Nya.

Bagaimana memohon simpati daripada Allah? Tidak lain dengan cara berdoa kepada-Nya. Doa itu adalah senjata orang mukmin. Maksudnya, doa ialah alat atau ubat yang paling mustajab dan mujarab untuk mendapat hati yang lunak dengan Allah. Namun harus diingat, doa bukanlah usaha ‘pemberitahuan’ kehendak-kehendak kita kepada Allah ( kerana tanpa diberitahupun Allah sedia mengetahui), namun doa hakikatnya usaha ‘penyerahan’ diri kita kepada-Nya.

Orang yang berdoa ialah orang yang mengakui segala sifat kehambaannya di hadapan kekuasaan Allah. Apakah sifat-sifat kehambaan itu? Antaranya, rasa lemah, hina, jahil, miskin, berdosa, hodoh dan segala sifat-sifat kekurangan. Berdoa ertinya kita menyerah pasrah kepada Allah. Kita nafikan segala kelebihan diri. Yang kita akui hanya sifat keagungan dan kebesaran Allah. Lalu kita inginkan hanya bantuan-Nya. Kita tagihkan simpati, kasihan dan keampunan-Nya sahaja.

Hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan. Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayaka-Nya. Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan mendapat kekuatan, kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.

Bila Allah telah hadiahkan kasih dan rindu-Nya kepada kita, kita akan merasa kebahagiaan dan ketenangan yang tiada taranya lagi. Dalam apa jua keadaan kita akan mendapat ketenagan. Susah, kita sabar. Senang, kita syukur. Kita bersalah, mudah meminta maaf. Jika orang meminta maaf, kita sedia dan rela pula memaafkan. Alangkah bahagianya punya keikhlasan hati yang sebegini?

Itulah hakikatnya syukur – pada lidah, hati dan amalan. Syukur dengan lidah, mengucapkan tahmid (pujian) kepada Allah. Syukur dengan hati, merasakan segala nikmat hakikatnya daripada Allah bukan daripada usaha atau ikhktiar diri kita. Tadbir kita tidak punya apa-apa kesan berbanding takdir Allah. Dan akhirnya syukur dengan tindakan, yakni menggunakan segala nikmat daripada Allah selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat itu.

Jika Allah berikan harta, kita gunakan ke arah kebaikan dan kebajikan. Jika diberi ilmu, kita mengajar orang lain. Diberi kuasa, kita memimpin dengan adil dan saksama! Syukur itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat. Ertinya, kita kembalikan nikmat kepada yang Empunya nikmat (Allah).

Feels Nothing...

Tengah malam tadi saya menerima 2 SMS... SMS yang sebenarnya cukup menyentuh hati hingga ke lubuk dan dasar hati yang paling dalam. Walau saya membiarkannya saja tanpa membalas, tapi sehingga ke saat ini SMS tersebut telah pun sy baca berkali kali....

1:12 am

"If Allah answered your pray, Allah is increasing your faith. If Allah delays, Allah is increasing your patience, but if Allah didn't answer, Allah has better plans for you.." Teruskan berdoa dgn sabar :)
1:34 am
"Belalang terkadang menyanyi, terlerai ikatan sunyi yang memeluk hati. bukan mudah lidah nak berzikir untuk hati, bukan biasa jemari merangkak mencari butiran tasbih yang gemar menari. khilaf sang pemuda bukan luar biasa, saat beban menggunung di minda, jujur kata bermadah berbisa. hulurkan maafmu walau hati membungkam rasa."
Terima kasih tak terhingga kepada kedua-dua pengirim SMS. Saya sedar bahawa kalian sangat mengambil berat, dan sentiasa ingin melihat saya gembira. Namun, sebagai wanita biasa, manusia biasa, saya juga lemah dan mudah tunduk pada perasaan sendiri. Saya marah, kecewa, sedih, resah, murung dan segalanya hanya kerana ada kehendak hati saya yang tak mampu di turuti. Bukan menidakkan ketentuan Allah, Astaghfirullah, tidak sama sekali... Cuma apa yang kerap terjadi kebelakangan ini benar-benar menggoyah pertahanan diri saya.. Maka sebab itulah, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan banyak perkara dan banyak hal yg penting itu, dengan meremehkan ia, dan berusaha sekerasnya membina hati supaya tidak lagi rapuh dan mudah kecewa. Maha suci Allah pencipta hati, semoga setiap denyut nadi yang bergetar selepas ini, setiap hembus nafas yang di beri peluang olehMu nanti, hanya didambakan padaMu semata-mata Ya Allah....
 
Bismillah... here goes....

Terbentang di hadapan perjalanan hidup insan. Kebanyakan orang dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Merasa sepi dan tiada keyakinan diri. Hidup mereka hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan. Hanya hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa. Mereka penuh yakin pada waktu orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan. Mereka mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain keluh-kesah dan buntu fikiran. Ini disebabkan orang-orang beriman menempuh jalan hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam.
 
Renungi maksud firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 30,
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Berpandukan ayat tersebut, dapat difahami, Islam merupakan deen (peraturan hidup) ciptaan Allah SWT. Ianya menepati keperluan insan dan sentiasa di dalam pengawasan Allah. Dengan itu setiap insan muslim mestilah melahirkan gambaran Islam secara menyeluruh di dalam kehidupan meliputi pemikiran dan pentadbiran alam. Juga dengan lain perkataan pelaksanaan sempurna selaku khalifah Allah di atas muka bumi. Semestinya kita berpegang teguh dengan prinsip ini sepanjang hayat kita. Fahami penjelasan Rasulullah SAW dalam sabdanya,
 “Kamu mesti berpegang dengan sunnah hingga sekalipun sampai ke akhir zaman yang wujud dua golongan penyeru. Ada penyeru yang berada di ambang neraka dan ada segolongan lagi penyeru ke jalan kebaikan. Sahabat-sahabat Rasulullah bertanya: Bila terjadi yang demikian, apa yang mesti kami lakukan? Sabda baginda: Kamu mestilah berjalan dalam jemaah. Kalau tidak ada jemaah, kamu gigit sunnahku ini dengan geraham hingga kamu mati.”
Perlulah sentiasa diingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti berkaitan pegangan kita terhadap akidah Islam.

Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:
  • Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun.
  • Rabb yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
  • Allah SWT telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad SAW pula merupakan penutup para nabi dan rasul dengan dianugerahkan al-quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
  • Allah SWT menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
  • Mesti kita diyakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang kafir.
  • Kita hendak faham, manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
  • Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
  • Kita mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
  • Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
  • Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
  • Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
  • Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan apa jua kesilapan dan dosa.
  • Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.
Hakikat iman kepada Allah SWT, merupakan hakikat terbesar dalam kehidupan insan. Apabila iman tertanam teguh dalam hati, kesannya sungguh mendalam. Jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku. Merangsang tindakan dan amal perbuatan hinggalah mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh redha Ilahi. 
 Iman mendalam dan taqwa tidak sekali-kali mengizinkan syaitan dan hawa nafsu untuk berjalan seiring. Setiap kali syaitan dan nafsu cuba menggoda dan mendesak, iman dan taqwa saling mendorong kepada kepatuhan terhadap perintah Allah. Begitulah hubungan iman dan fitrah insan, kedua-duanya sentiasa saling memerlukan. 
“Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertaqwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia beroleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama.”
(QS Az-Zumar: 10-11)
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.”

19 February 2011

...... Destinasi Cinta

Destinasi yang ku cari, sebenarnya terlalu hampir.....

Tak ternilai airmata dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka
Andai benar mengalir dari nasuha nurani
Tak kan berpaling pada palsu duniawi

Destinasi cinta yang ku cari

Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Telah ku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenang ku temui
Hanya kecewa menyelubungi

Aku mencintaimu kerana Allah....


 Selamat Mengganti Hati Baru :)
 
Ku gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untuk ku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat ku berteduh di rendang kasih-Mu

Namun ranjaunya tidak akan sunyi

Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah bernama hati



14 February 2011

Antara pilihan-pilihan

Hampir seluruh kehidupan kita melibatkan pemilihan. Manusia punya kebebasan untuk memilih. Namun pilihannya itu akan dipersoalkan kelak. Dan ada yang berkata,
"Biar memilih jangan tersalah pilih"

Dan saya seakan-akan bersetuju dengan kata-kata itu.

Antara iman dan kufur

Secara kasar hanya ada dua golongan yang wujud di dunia. Golongan yang mentaati Allah dan golongan yang mengingkari-Nya. Sungguh kita juga boleh terjebak ke kancah kekufuran sekiranya iman tidak dipantau. Na'uzubillah...

"Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaan-Nya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya."

(Surah Asy-syams : 7-10)

Sungguh ayat-ayat ini mampu menampar diri sendiri dalam mengurus kehidupan. Kadangkala kita sendiri lalai dalam mengendalikan nafsu. Maka datang pula ayat berikut untuk mengetuk hati yang berdosa....
"Dan katakanlah, kebenaran itu datangnya dari Allah. Maka siapa yang hendak beriman, maka berimanlah, barangsiapa hendak (menjadi kafir) maka biarlah ia kafir…”

(Surah Al-Kahfi : 29)

Maka, Allah sememangnya memberi kita pilihan. Terpulanglah pada kita... Dunia yang kita cari atau Akhirat sana yang kita kejar... Allah... bisa sungguh kalam Allah ini. Seluruh manusia punya 2 pilihan jadi yang mana satu pilihannya? Ketahuilah kedua pilihan ini adalah asas kehidupan untuk memandu riwayat kita seterusnya.

Pilihan-pilihan dunia

Apabila sudah menjangkau alam belasan, 20-an dan tingkatan usia seterusnya, semakin banyak pilihan yang harus kita lakukan.

Memilih kerjaya. Ya itu antara dilema anak muda. Sebaik sahaja SPM selesai, maka mulalah pencarian seterusnya. Mahu jadi apa ya? Bidang apa yang harus aku belajar? Dilema sungguh. Begitulah lagak adik-adik kita yang baru habis SPM. Apa yang penting, pemilihan bidang pengajian biarlah menepati minat dan kemampuan serta memenuhi keperluan umat Islam. Pilihlah bidang yang Islam boleh tumpang. Bila niat betul insyaAllah tiada penyesalan.

Memilih pasangan. Ini sudah menjadi isu hangat di usia 20-an. Ingin disayangi dan menyayangi itu sudah fitrah manusia. Namun fitrah yang harus dirai dengan jalan pernikahan bukan jalan sebarangan. Memilih pasangan bukanlah memilih ikan di pasar. Segarnya ikan bila jernih matanya, merah insangnya. Oh... bukan sebegitu... Manusia punya penelitian yang lebih. Maka seeloknya kita meneliti sunnah dan hadith baginda. Sekadar memilih yang cantik, kerepot juga akhirnya. Yang kaya, miskin juga akhirnya. Carilah seseorang yang mampu menerima diri dan diri pula mampu memberi. Yang pasti menuju Illahi... Doa dan doa. Dan saya juga tidak putus berdoa untuk insan yang bakal memimpin tangan ini ke syurga.

Memilih pemimpin. Isu ini, orang kata isu politik. Sebut je pemimpin ingat politik. Kotor orang kata. Sinar membangkang seratus peratus. Apakah kita lupa sirah. Rasulullah itu ketua negara. Urusan memilih pemimpin urusan dunia akhirat. Siasah itu suci jika disucikan oleh tangan-tangan yang berhak. Maka yang berhak mencalon dan mengundi silalah lakukan peranan anda.

Nah... pilihan-pilihan yang ada berat sebenarnya. Namun landasannya satu. Allah itu matlamatnya... Maka pilihlah berdasarkan neraca iman.


kalian terhebat...

01 February 2011

Dimensi Lafaz Talbiah 4

Bacalah dengan nama Tuhan-mu yang menciptakan!! Setiap barang pasti ada tuannya maka setiap makhluk ada Penciptanya. Itu logika alam dan sememangnya sudah termakhtub dalam A-Quran pada kalam pertama Allah swt buat Junjungan tercinta di Gua Hirak. Namun masih ramai lagi manusia yang tidak bertuhan, bukan tidak tahu..tahu tapi tak mahu..itu yang parah…lebih parah lagi ada yang bertuhan namun masih meragukan kebenaran..Moga Allah buang segala keraguan hamba-hambanya yang mencari sinarnya..tidak patut bukan??


“ Bacalah dengan nama Tuhan-mu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhan-mulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia dengan perantaan kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya,”

(Al-Alaq:1-5)

Sedarlah manusia

Allah lah yang mencurahkan ilmu, itupun manusia masih angkuh, tidak sedar nikmat itulah yang Allah berikan jua. Ditambahkan lagi kekayaan dunia menyebabkan dia lupa siapa dirinya. Nikmat sihat, nikmat bernafas semua milik Allah…Bahkan dirimu jua miliknya..



“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas kerana dia melihat dirinya serba cukup..”

(Al-Alaq:6-7)

Padahal setiap pancaindera, ketinggian iQ semua kurniaan Allah. Hinalah rasanya.. puas sudah Allah memberi peringatan tapi kita buat endah tak endah..Hingga peringatan ini Dia nukilkan ::



“Apakah mereka mengira, bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan utusan (malaikat-malaikat) kami selalu mencatat di sisi mereka.”

( Al-Zukhruf: 80)

Insaflah wahai diri. Kau akan tewas jika terus menyombongkan diri. Lihatlah sekeliling mu dunia berjaya memperdayakan ramai orang hingga ramai tewas di lembah persinggahan ini..ramai yang lupa ambil bekalan. Sedarlah Dunia ini hanya pelabuhan, menepati perumpamaan yang diberikan oleh Imam ghazali kepada dunia sebagai pelabuhan semata. Bagi anak-anak kapal yang cerdik akan mengambil bekalan semasa kapal berlabuh untuk kesenangan pelayaran pabila diteruskan tetapi rugilah bagi anak2 kapal yang hanyut dengan keseronokan dan kelalaian di bandar hingga lupa bekalan yang diperlukan. Dunia tak perlu dipersalahkan yang salah adalah diri sendiri. Kenapa?? tanyalah diri anda biarkan fitrah hati menjawabnya..

Sedarlah jua kita bakal dikembalikan kepada Allah hatta dunia jua ibarat menyuruh kita pergi..menghadap Pencipta Yang teragung yang turut menciptakan dunia ini. Tika itu kita dibaluti kain kafan, tiada harta , tiada ibu ayah menemani, tiada anak isteri mengiringi dan hanya amalan dunia peneman abadi..untunglah jika amalan kebaikan mengatasi amalan kejahatan.. Soalan di alam kubur lama sudah bocor, tapi yakinkah kita akan mumtaz dalam peperiksaan ini. Bersediakah kita untuk itu ? Jadi fikirkanlah sia-siakah kita hidup di dunia ini? Hanya perlu mengejar ijazah dan kehormatan di alam fana ini atau perlu mengejar pHD di akhirat sana?

Apabila sifat-sifat terpuji bersinar gemilang dalam jiwa manusia hatinya akan terarah mencari cinta hakiki. Hatinya rasa dimiliki oleh Yang Maha Esa, Yang Maha Mengasihi dan Yang Maha Hebat hingga infiniti, Bagi insan yang sudah jumpa matlamat abadi hidupnya akan rasa dia Milik Allah. Itulah Pencipta dirinya dan itulah tempat dia kembali. Justeru dia teguhkan hati untuk mendukung kalimat La ilahaillallah seteguh hati walau ditindas walaupun dia tahu perjalanan seorang muslim mukmin takkan pernah dihampari permaidani merah. Bahkan dia terus berusaha untuk memiliki cinta hakiki..

Itulah hasil desakan nurani dan ledakan takwa mendorong untuk memiliki cinta agar mencari satu cinta yang memang hanya patut dimiliki oleh orang dirinya. Justeru kita bagaimana? Sudahkah mula buka langkah atau hanya tunggu cinta hadir tanpa berusaha. Memiliki cinta Allah bukan hanya mudah ditutur tapi perlu dilaksanakan.

Di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali berkata, “Antara tanda cinta hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir ataupun batin. Oleh itu,seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah.”

Hak milik tetap

Kita hak milik tetap Al-khaliq. Hingga kapan pun title kita tetap hamba Allah walaupun kita bangsawan, fakir miskin hatta tukang sapu sekalipun di dunia ini. Tidak harus ada diskriminasi jika kita jelas bahawa kita juga insan biasa. Kita masih perlukan Allah. Dalam Islam kualiti hakiki hanya tercapai apabila keredhaan Allah dijadikan matlamat. Hiduplah dalam kualiti yang Islam kehendaki. Bukan menjadi Muslim sekali sekali tapi setiap masa bahkan bukanlah pula separuh masa. Moga hati kita akan terus bersinar dengan gemilang agar Allah terus menerus ilhamkan hati itu pelbagai ilmu dan petunjuk. Wallahu'alam

Dimensi Lafaz Talbiah 3



Sesungguhnya hari hari telah berlalu, tidak sekali meninggalkan jejak untuk diikuti bahkan hari mendatang belum pasti jua medan mana akan kita tempuhi. Ya, seolah-olah tersepit di antara waktu. Namun inilah kehebatan masa, Hanya Allah yang mengetahui hal-hal yang tersembunyi. Kita merancang dan Dia juga merancang. Maka rancanglah sebaiknya kehidupan ini. Moga tidak sia-sia hidup kita di perhentian dunia ini.

Penghargaan buat diri 

 
" Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu bagiNy a dan demikian itu diperintahkan bagiku dan akulah yang pertama-tama menyerah diri kepada Allah S.W.T.. "
(Surah al-An'am: ayat 162-163.)

Laungkanlah kalimah syukur, panjatkanlah pada-Nya kalimah tauhid yang tertinggi berulang-ulang kali. Raikan kemunculan tahun baru dan tekadlah berazam agar terus dan terus mentaati Allah dan rasul-Nya. Ibarat lagak Laksamana Sunan tak putus-putus mendoakan 

“Ya Allah..aku mohon.. panjangkanlah umurku dalam mentaati-Mu dan mentaati rasulmu,”

Berikan penghargaan pada diri dengan perbanyakkan amal serta perbaharui dan perkemaskan azam. Zahirkan setiapnya dalam keadaan sedar dan bersungguh-sungguh. Rungkaikan segala konspirasi diri untuk terus maju. Sudah.. jangan dikenang masa silam yang mampu merentap semangat juangmu. Lakukan perubahan. Satu anjakan paradigma perlu dilaksanakan. Masa sudah suntuk.~ Kematian itu pasti... Hidup, insyaAllah~

Jika ingin sehebat Abu Bakr, setegas Umar, setabah Siti Khadijah, Sepintar Aisyah dan selincah Hamzah dalam mengempur dan mengoncangkan dunia..Jangan hanya diangan-angankan tanpa usaha. Realitikan impian itu. Takkan pernah sama orang yang bekerja dengan orang yang bersahaja. Takkan sama orang yang bersuka ria dengan dunia dengan orang yang serius di jalan akhirat !! Bisa sungguh kata-kata ini. Tapi ini hakikat yang perlu kita sedari. Inginkan kebahagian abadi perlu kepayahan duniawi.

Hijrahkan diri..berjihadlah

Sesuatu kemenangan dan kejayaan tidak akan tercapai melainkan dengan jihad (perjuangan) dan setiap perjuangan itu tidak akan hakiki melainkan dengan pengorbanan. Di dalam Al-Quran galakan dan perangsang berhijrah sama nilainya dengan galakan dan perangsang untuk brjihad. Ini membayangkan hubungan erat antara hijrah dan jihad.
“ Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh ( itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah?. Maka bergembiralah dengan jualbeli yang telah kamu lakukan iut dan itulah kemenangan yang besar. “
(Surah at Taubah : 111)

Sabda Rasulullah s.a.w bersabit dengan hijrah :

“ Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka Hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya maka Hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya “

Akhirul kalam, moga kita renungi pengertian hijrah dalam diri, sirah mungkin kita sudah hadam sebaiknya namun sejauh mana memanifestasikan ia dalam jiwa hamba.

Sekadar renungan



Bila Allah cepat makbulkan Doamu, Maka DIA Menyayangimu,
Bila DIA Lambat Makbulkan doamu, Maka DIA Ingin Mengujimu,
Bila DIA Tidak Makbulkan Doamu, Maka Dia Merancang Sesuatu Yang lebih Baik Untukmu.

Oleh itu, 
Sentiasalah Bersangka Baik Pada ALLAH Dalam Apa Jua Keadaan Pun... Kerana Kasih sayang ALLAH Itu Mendahului KemurkaanNya.
 
 

31 January 2011

Dimensi Lafaz Talbiah 2

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."
(Surah Al-Hadid: 22-23)



Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

Dimensi Lafaz Talbiah 1

Di keheningan fajar ini, aku rasakan seluruh tubuh dan jiwaku berada dalam situasi yang damai dan menenangkan. Selama ini tidak pernah sekelumitpun ku rasakan perasaan seindah ini.

Terima kasih Allah, kerana Engkau masih memberi  ruang kepada hambaMu yang sangat hina ini untuk menikmati perasaan ini. Saat inilah baru aku tersedar bahawa diriku ini sangat mencintai dan merinduiMu.
Saat ini baru ku rasakan betapa nikmat dan manisnya cinta dan rindu kepadaMu. Baru kini ku merasakan hebatnya kuasa cinta ini, Ya Allah.

Syukur padaMu ya Allah kerana Engkau telah memilih diri ini untuk menerima hidayah dan cintaMu. Sesungguhnya aku benar-benar menyedari betapa hinanya aku pada pandanganMu.

Betapa dosaku maha luas meliputi ruang langit dan bumi. Kosongnya amalanku ini untukku persembahkan kepadaMu nanti. Terlalu banyak sifat mazmumah dalam diriku sehinggakan tidak mampu ku perhitungkan lagi. Kerasnya hatiku sehingga hidayahMu sukar untukku menerimanya. Ku tahu tiada nilaianku di sisiMu, ya Allah.

Namun sesungguhnya, Engkau Maha Pengasih ya Allah. Engkau masih memberi peluang kepada diriku ini untuk melakukan transformasi diri. RahmatMu maha luas ya Allah. Syukur yang tidak terhingga ku panjatkan kepadaMu.

Di kesunyian fajar ini, air mataku laju menuruni terataknya membasahi sejadahku lagi. Kesilapan lampau terbayang-bayang mengisi ruang ingatan satu persatu. Episod silam membawaku ke lembah kehinaan yang membuatkan aku digelumangi debu-debu dosa.

Betapa menyesalnya aku ya Allah. Kenapa selama ini aku leka dan lalai? Kenapa selama ini hatiku buta ya Allah. Terlalu banyak masa yang telah aku persia-siakan. Selama ini aku mempermainkan taubat kepadaMu ya Allah. Selama ini ibadatku bukanlah untukMu ya Allah, tetapi kerana sifat menunjuk-nunjuk dan riak yang hadir dalam diriku. Aku terlalu menyesal ya Allah.

Aku pohon kepadaMu ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk melakukan hijrah ini. Aku ingin berhijrah ya Allah, hijrah keranaMu. Bukanlah hijrah kerana manusia, bukan juga hijrah untuk mendapatkan dunia tapi hijrah yang sebenar-benarnya.

Aku ingin berhijrah untuk mendapatkan cinta dan redhaMu. Sambutlah cinta dan rinduku ini ya Allah. Akan ku tatang hidayahMu ini dengan ilmu. Ilmu yang akan aku manfaatkan untuk memperbaiki hati dan diriku, yang dapat memberi cahaya kepada jiwa dan hidupku.

Ilmu yang akan aku persembahkan untukMu adalah ilmu yang akan membawa diriku menuju cintaMu. Ilmu yang dapat menjadikan hatiku ini lembut dan syahdu. Ilmu yang dapat mengubah seluruh kehidupanku. Kurniakanlah kepadaku ilmu yang dapat membuat diriku semakin mencintaiMu ya Allah.

Semoga kita digolongkan dalam golongan manusia yang dipilih Allah untuk menerima hidayahNya. Betapa bertuahnya kita seandainya dipilih. Membuktikan betapa luasnya rahmat dan kasih sayang Allah. Lihatlah betapa kerdilnya kita di muka bumi ini, tetapi sayangnya dalam kalangan kita masih ada manusia yang sombong.

Marilah kita sama-sama melakukan hijrah diri. Hijrah yang dapat mengubah hati dan jiwa kita. Hijrah yang dapat meruntuhkan keegoan dan sikap takbur manusia . Hijrah yang dapat meruntuhkan hati dan jiwa yang keras. Hijrah yang memberi kesedaran kepada kita bahawa segala yang kita lakukan di dunia ini adalah semata-mata untuk mendapatkan cinta dan redha Allah.

Lakukanlah hijrah diri ini ketika kita masih mampu melakukan amal ibadat. Lakukan hijrah tatkala Allah memberi kelapangan masa dan kesihatan kepada kita. Lakukan hijrah diri ini ketika diri masih diberi peluang. Lakukan hijrah diri ketika diri masih muda. Lakukan hijrah diri ini tatkala nyawa kita masih belum sampai di halkum. Kelak, jika hijrah diri ini tidak disambut, kitalah manusia yang paling rugi dan paling malang di dunia dan di akhirat. Marilah kita berhijrah bersama-sama.