Showing posts with label Duniaku. Show all posts
Showing posts with label Duniaku. Show all posts

07 December 2010

Sultan Muhammad al-Fateh dan Pembukaan Costantinople

HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE
Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman  Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN 

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia   19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang   negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.  

PENDIDIKAN 

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan,   memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek,  Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah  matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN 

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintaha

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin   menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali  Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

06 December 2010

Masih ingat HARTINA KAMARUDDIN?

Penulis:   Norimanah Seman Terbitan asal:   AL ISLAM Oktober 2009
url artikel:
http://grenbara.bravejournal.com/entry/

Sudah lebih 10 tahun Hartina Ka­maruddin meninggalkan keluarganya untuk mengikut suami, Rajeswaran ke Australia dan menetap di san. Kebim­bangan atas keselamatan anak menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berhijrah. Sejak itu saya tidak pernah dengar suaranya dan bersua muka. Saya sudah tidak ada perasaan langsung terhadapnya walaupun dia anak saya.
 

 
Perasaan rindu sudah tidak wujud lagi di dalam diri saya. Kalau kata sayang... saya lebih  sayangkan Islam berbanding anak saya. Di dalam usia yang hampir mencecah 60, tidak ada apa lagi yang diharapkan, hanya menumpukan kepada ibadat dan mengukuhkan keimanan. Soal anak yang telah jauh perginya, biarkanlah itu takdir Tuhan. Bukannya tidak berusaha untuk memulihkannya, malah lebih daripada itu telah dilakukan. Dihina, dipukul, semuanya sudah dilalui namun inilah yang dikatakan takdir.
 
Setiap saat doa kami tidak per­nah berhenti agar dia kembali kepada Islam. Dan jauh di sudut hati ini dapat merasakan, dia akan kembali kepada kami dengan kepercayaan asalnya suatu hari nanti. Selagi Tina masih di dalam keadaan sekarang, saya tidak pernah terfikir untuk bertemu dengannya atau mengharapkan dia kembali.
 
Hati emak Tina, Kalsom Ghani memang sudah cukup keras untuk di­cairkan. Pujuklah apa saja, dia tidak akan berganjak dari keputusannya. Dia hanya akan mengaku anak setelah Tina memeluk Islam. Selagi masih memegang kepada kepercayaan baru dia tidak akan mengingati malah tidak mahu ambil tabu langsung tentang anak kesayangannya itu.
 
Dulu, Tina adalah anak yang paling disayangi dan ditatang bagai minyak yang penuh. Bayangkanlah jarak usia antara Tina dengan adiknya Azliza adalah enam tahun. Dia memang man­ja dan kami sayang sangat pada dia. Kini, dialah yang paling dibenci sekali sampaikan emaknya yang mengandung dan melahirkannya pun tidak mahu menyebut nama Tina.
 
Sudahlah saya tidak mahu fikir-fikir lagi tentang dia tapi jika dia kembali ke Malaysia dengan Islam, saya teri­manya dengan sepenuh hati. Bukan sedikit onar yang telah dibuat oleh Tina kepada keluarga. Dah banyak kesengsaraan yang ditanggung hanya untuk mempertahankan akidah.
 
Mengenang kembali peristiwa yang berlaku pada 1996 memang amat menyakitkan. Namun digagahkan hati untuk bercerita sebagai teladan kepa­da ibu bapa yang lain. Kepercayaan saya pada Tina memang tidak pernah berbelah bagi apabila dia mendapat tawaran bekerja di bank di Jalan Klang lama, saya izinkan. Malah saya belikan dia sebuah rumah di Taman Sri Sento­sa, Jalan Klang Lama supaya dia tidak perlu menyewa. Setiap kali ada kesem­patan, saya dan isteri akan berkunjung ke rumahnya untuk melihat keperluan­nya.
 
Semuanya berjalan seperti biasa. Tina anak yang taat, sembahyang dan mengamalkan ajaran Islam sepenuh­nya. Tidak ada satu pun perlakuannya yang mencurigakan saya. Dia tetap macam dulu-dulu ketika masih tinggal dengan saya di Kampar. Cuma hubu­ngan jadi renggang sikit kerana ber­jauhan. Saya percaya penuh kepadanya dan tidak pernah terfikir pada perkara yang lain.
 
Pada suatu hari saya di datangi oleh seorang yang boleh dikatakan berpangkat, bertanyakan tentang Tina. Saya kenal lelaki itu adalah salah seorang yang berpengaruh juga di Perak berbangsa India. Ketika lelaki itu bertanya tentang Tina dan pernah terlihatnya di dalam satu majlis keagamaan, perasaan saya sudah tidak sedap. sebelum lelaki itu melangkah pergi, dia sempat ber­pesan supaya hati-hati dan tolonglah tengok-tengok sikit keadaan Tina di Kuala Lumpur. Ketika itu terasa berde­rau darah naik ke muka, perasaan jadi tidak menentu.
 
Sebenarnya seminggu sebelum lela­ki itu bertemu dengan saya, Tina ada pulang ke rumah iaitu pada hari raga. Kami sembahyang jemaah bersama­ sama, tidak ada perubahan. Setelah Tina kembali ke Kuala Lumpur baru­lah lelaki itu bertemu dengan saya untuk memberi klu bahawa ada sesuatu yang tidak kena akan berlaku kepada Tina.
 
Selepas pertemuan dengan lelaki itu, saya terus mengambil keputusan bersa­ma isteri untuk ke Kuala Lumpur meli­hat keadaan Tina. Semasa saya sampai di rumahnya, dia tidak ada di rumah. Dengan menggunakan kunci pendua, saya masuk ke dalam rumahnya. Bila petang barulah Tina balik tapi bersama seorang lelaki berbangsa India. Selama ini saya tidak tahu pula ada lelaki tinggal dengan Tina. Lelaki itu kata Tina adalah isterinya, pelik pula bila masanya mereka menikah.
 
Kemudian Tina tunjukkan surat sumpah yang mengatakan bahawa dia sudah tidak mempraktikkan lagi aja­ran  Islam dan telah menukar namanya kepada Nivashiny Rajeswaran. Sijil pendaftaran menunjukkan, perkahwi­nan berlangsung pada 24 Mac 1996. Luluh hati saya mendengarkan pe­ngakuan itu. Bagaimana anak yang saya bela selama 21 tahun tiba-tiba mengambil keputusan sendiri menukar pegangan hidup.
 
Ketika kejadian itu. usia Tina 21 tahun seminggu. Bila saya membuat laporan di balai polis, mereka kata tidak boleh buat apa-apa kerana usia­nya sudah 21 tahun dan berhak untuk buat keputusan. Saya balik semula ke Kampar mencari surat beranak Tina tapi tidak ada. Barulah saya perasan, beberapa minggu sebelum itu, Tina pulang ke rumah kerana bercuti sela­ma seminggu. Mungkin ketika itu dia sedang menyiapkan segala dokumen untuk pertukaran nama.
 
Saya laporkan pada Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) tentang Tina. Semasa mereka mengadakan majlis kahwin di rumah Rajeswaran di Mam­bang Di Awan, JAIP datang menang­kap Tina.
 
Dengan takdir Tuhan, saya akhir­nya berjaya membawa keluar Tina lalu membawanya ke Kelantan.
 
Tujuan saya untuk mencari tempat perlindungan bagi Tina kerana setiap pergerakan saya sentiasa diekori. Saya rasa tidak selamat jika menyimpan Tina di Perak. Sampai di Kelantan, hati saya tidak dapat menahan marah. Saya pegang parang yang saya bawa dari Kampar. Kali ini saya memang nekad untuk menetak Tina sampai cacat. Saya bukan hendak membunuh tetapi hanya hendak mencacatkannya agar lelaki itu tidak mahu lagi kepada Tina.
 
Mujurlah isteri dan adik-adik sempat menyabarkan, saya sejuk kem­bali dan tidak jadi menetak Tina.
 
Selama 11 hari saya dan keluarga duduk menumpang di rumah seorang kenalan sementara mencari rumah perlindungan untuk memulihkan akhlak Tina. Setelah diberi air penawar dan berubat secara Islam, Tina kem­bali sembahyang. Bagaimanapun atas desakan kewangan dan masing-masing perlu bekerja, kami sepakat untuk ke Pulau Pinang, rumah adik ipar saya.
 
Adik ipar saya berjanji akan menjaga Tina. Saya memberi keizinan kera­na memikirkan Tina sudah berubah. Saya balik semula ke Kampar dan meneruskan perniagaan sate yang telah ditinggalkan sejak dua bulan lalu. Beberapa hari saja berada di bawah jag­aan adik ipar, Tina dilarikan lagi. Sejak hari itu saya tidak pernah bertemu lagi dengan Tina.
 
Saya masih cuba berusaha untuk kembalikan Tina kepada keluarga wa­laupun tidak tahu di mana dia tinggal. Saya terpaksa meminta adik sauda­ra yang berniaga, di Kuala Lumpur mengintip Tina untuk mengetahui tempat tinggalnya. Setelah pasti dimana dia tinggal, saya melaporkannya pada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menangkapnya pada 1998 kerana lelaki itu telah menggu­gat akidah anak saya. Polls dan JAIS menetapkan 15 September 1996 untuk menyerbu rumah tersebut.
 
Bila nampak kami datang lelaki itu terus bawa Tina ke bilik dan me­nguncinya. Lelaki itu tidak berganjak dari pintu bilik itu. Berkali-kali saya memohon dan merayu kepada lelaki itu dan mengizinkan dia mengambil Tina asalkan dia terlebih dahulu memeluk Islam.
 
Sebaliknya saya pula yang dimaki hamun, lelaki itu menghina dan me­ngutuk Islam dengan perkataan yang lucah. Malah dia mencabar saya bawa kes itu sampai kepada kerajaan. Dia kata kerajaan tidak akan mampu mem­bantu saya. Ketika itu perasan marah saya sampai ke penghujungnya. Saya capai pisau pemotong buah di atas meja dan terus saya kelar leher lelaki itu. Saya ingatkan jika mati lelaki itu anak saya akan kembali kepada saya. Ini kerana yang menjadi penghalang besar adalah lelaki itu.
 
Saya kena gari dan ditahan di lokap selama seminggu. Kemudian saya dibe­baskan tanpa lepas dengan ikat jamin. Peluang saya untuk berjumpa dengan Tina sudah tidak ada lagi. Saya pelik bagaimana Tina masih boleh diam melihat saya merayu-rayu. Kalau dia tidak sayangkan saya tidak mengapa tapi tolonglah kasihan kepada emaknya yang mengandung dan melahirkannya.
 
Lagi satu yang saya pelik, Tina telah menukar kembali namanya kepada nama hindu. Kali pertama dia menu­kar namanya pada 30 September 1995, kemudian saya menukarkannya kepada Islam ketika berada di Kelantan pada 30 April 1996. Tetapi dia menukar kembali namanya pada 27 Mei tahun yang sama. Bayangkan bertapa pantas mereka buat kerja dalam masa dua minggu dari tarikh dia melarikan diri dari rumah bapa saudaranya pada 9 Mei.
 
Setelah gagal dengan semua usaha itu saya kembali ke Kampar dan mula­kan hidup baru, menyambung pernia­gaan. Selang beberapa bulan, ketika saya sedang bersiap-siap untuk memulakan perniagaan, Tina dan lelaki itu datang ke gerai berhampiran untuk minum. Perasaan saya ketika itu bagai­kan dibakar melihat Tina, saya hilang pertimbangan sekali lagi.
 
Apa tujuan mereka datang susah­ susah sekadar untuk minum berham­piran kedai saya dari Kuala Lumpur. Saya tahu mereka memang hendak menunjuk-nunjuk bahawa mereka kuat dan menang. Saya pergi dapat­kan Tina untuk memujuknya kembali. Sebaliknya lelaki itu terus menyerang saya, melihatkan kejadian itu anak bongsu saya Syukur Yazit mengambil parang dan menetak kepala lelaki itu. Tina hanya tunduk saja melihat saya ditendang terajang oleh lelaki itu dan kawan-kawannya.
 
Selama sebulan saya terlantar di hospital kerana tulang rahang retak dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengikat kembali tulang tersebut. Di dalam tempoh itu juga saya langsung tidak boleh makan nasi hanya minum susu saja. Sepanjang saya duduk di hospital rupanya Tina telah membuat laporan polis bahawa saya menyerang­nya. Sampai hati Tina melakukan itu pada saya. Selepas keluar dari hospital saya terus ditahan di lokap selama lapan hari. Kemudian saya dibebaskan dengan ikat jamin.
 
Selepas peristiwa itu saya hanya duduk di rumah kerana keadaan kesi­hatan pun tidak mengizinkan. Selepasbeberapa bulan berehat saya dipang­gil semula ke balai, kali ini saya tidak faham atas alasan apa. Rupanya polis mendapat laporan bahawa Rajeswaran ditembak dua das di leher dari jarak dekat semasa pulang dari kerja. Saya adalah orang yang paling disyaki.
 
Saya minta izin balik dulu ke rumah salin baju sebelum ditahan di lokap. Semasa hendak ke balai polis isteri dan anak saya ada menemani. Rupanya bukan saya saja yang ditahan Yazit pun terlibat sama ketika menghantar saya ke balai, dan isteri saya pun disoal siasat. Dari balai polis Kampar saya dibawa ke Kuala Lumpur oleh tiga orang pegawai polis bangsa India.
 
Semasa di dalam kereta memang teruklah saya dikerjakan dan pelbagai penghinaan dilemparkan. Kebetulan ketika itu saya baru balik dari umrah, saya adalah simpan janggut sikit. Jang­gut saya ditarik, kemudian diperlekeh­kan menghina Islam. Macam-macam kata-kata kesat yang mencerca Islam dilemparkan tetapi saya tetap berdiam diri kerana tidak mahu terjadi perkara buruk.
 
Saya ditahan lagi selama seminggu, setelah tidak ada bukti saya dilepas­kan. Semasa ditahan semua akaun saya diperiksa untuk melihat jika ada aliran wang keluar yang mencurigakan tapi tidak ada kerana memang saya tidak buat. Sampai hari ini saya tidak tahu siapa yang menembak Rajeswaran dan untuk tujuan apa?
 
Tina pernah telefon adik ipar saya di Pulau Pinang untuk bercakap de­ngan emaknya. Tapi hati emak yang sudah terluka tidak mahu langsung mendengar suara anak walaupun yang sangat disayangi. Dia tidak mahu ambit tahu langsung tentang anaknya walau­pun untuk menyebut namanya. Malah gambar-gambar Tina pun tidak mahu. disimpan
 
AL ISLAM Oktober 2OO9

NATRAH: A Chronological

Nadra Maarof atau nama belanda Bertha Hertogh (1937-2009) adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.

Bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya Adeline Hunter. Kakaknya Wiesje, Corrie. Adiknya Benny dan Karel.

Beliau meninggal dunia pada 9 Julai 2009 pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda
 





  • 1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha HertoghMaria Huberdina Hertogh atau
  • Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
  • Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
  • 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
  • 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
  • September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganusenaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai. sewaktu pertunjukan
  • 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
  • 12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
  • 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
  • 24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
  • 28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
  • 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .
  • 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
  • 1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.
  • 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
  • Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
  • 12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.
  • 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
  • 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
  • Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
  • 15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
  • Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
  • Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
  • 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
  • 10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
  • 17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
  • Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.
  • 25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
  • 20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
  • 1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
  • 26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
  • 20 April 1956 Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askartukang kayu. ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi
  • 15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
  • 20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
  • 3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
  • 25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
  • 16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
  • 26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
  • 1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
  • Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
  • 1983 Bertha bercerai dengan Tom Ballermans
  • 1984 Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
  • 15 September 1984 Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga... Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
  • Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.[perlu rujukan]
  • Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.
  • 9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.

Di mana Nor Aishah Bokhari?

Di mana Nor Aishah Bokhari?
 
Penulis:    Muhd Ridhwan Abdul Jalil @Erwanz 
Terbitan asal:   Al-Islam Oktober 2009
url artikel
: http://grenbara.bravejournal.com/entry

Pulanglah sayang, kami amat  merindui mu...
 
MASIH ingat lagi dengan kisah Aishah Bukhari yang menggemparkan masyarakat Malay­sia pada 1998. Rasanya semua orang sudah tahu bila menyebut nama Haji Bukhari dan tergambar jelas di dalam ingatan rentetan peristiwa yang ber­laku ketika itu. Setelah 21 tahun, Aishah dibawa pergi, entah ke mana tanpa khabar berita hingga ibu yang menanti penuh kerinduan menyam­but panggilan  Ilahi dua tahun lalu membawa rindu dendam di jiwa.
 
 
AI-Islam ke Pontian, Johor men­cari Bukhari bukan untuk mengungkit kisah . silam tetapi untuk mendengar keluhan hati seorang ayah membilang hari mengharapkan kepulangan anak kesayangan. Inilah keluhan rindu seorang ayah...
 
Kalau dia pulang saya ingin peluk dan cium dia sepuas-puas­nya. Tidak ada apa ang lebih membahagiakan saya ketika ini selain melihat senyum manis Intan. Kemanjaannya menyebabkan saya dan isteri memanggilnya Intan. Sejak lahir nama itu lekat hingga  hari ini walaupun bayangnya tidak ada lagi di depan mata tapi ingatan kepadanya tetap utuh. Masih terba­yang senda guraunya, rengekan man­janya bila meminta sesuatu. Hanya gambar Intan yang sudah lusuh men­jadi pengubat rindu.
 
Setiap kali mengenangkan Intan mengalir air mata ini bagaikan tidak dapat ditahan-tahan lagi. Jika dulu ada emak Intan boleh juga berkong­si, kami sama-sama menangis dan bercerita tentang gelagat anak-anak semasa kecil. Walaupun tidak mampu menyembuhkan luka di dada ini tapi sekurang-kurangnya ia boleh mereda­kan perasaan. Namun sejak isteri saya meninggal dua tahun lalu hanya anak ­anak menjadi tempat berkongsi ke­rinduan.
 
"Intan di mana kau nak, pulanglah abah rindu sangat. Intan tahu tak emak sudah dua tahun meninggalkan kita. Intan ... Intan," setiap hari saya berbisik dan berdoa agar Intan kembali. Biarlah siapa pun dia saya tetap ayahnya dan dia adalah anak saya. Tidak ada apa yang boleh memisahkannya.
 
Kalaulah saya tahu di mana Intan berada sudah pasti saya datang me­ngambilnya. Bapa mana yang tidak sayangkan anak? Walaupun telah 11 tahun 'menghilangkan' diri, dia tetap berada di hati ini. Tengoklah ini barang permainannya saya masih simpan, bilik tidurnya masih seperti dulu, kain baju di dalam almari tidak ada siapa yang berani menyentuhnya. Semua itu masih setia menanti kepulangan Intan.
 
Tombol pintu bilik dipulas, di kala rindu memenuhi segenap jiwa tidak ada yang dapat memadamnya. Hanya baju baju lama Intan yang sering menjadi peneman, diusap dan dicium berkali kali. Saya tidak benarkan sesiapa pun mengusik atau mengalih barang­barang di dalam bilik Intan kerana itu saja kenangan yang tinggal untuk kami selain gambar-gambar. Perlahan-lahan tangan menyapu habuk yang hinggap di almari cermin kesukaan Intan, tem­pat dia menyisir rambutnya dan ber­bedak. Ia masih di situ sejak anaknya pergi tidak ada sesiapa pun yang berani mengalihkannya.
 
Kadang-kadang tersentuh juga hati bila melihat Mohd Sabirin, adik bong­su Intan membelek belek permainan mereka sewaktu kecil. Mereka berdua memang rapat sejak kecil bersama sama bermain congkak dan Sahiba. Piano ini pula permainan kesukaannya semasa dia berumur 7 tahun.
 
Saya sebenarnya sudah mati akal, saya tidak tahu nak buat apa lagi, ber­macam-macam doa saya amalkan, solar hajat dan berbagai-bagai ikhtiar saya lakukan termasuklah perubatan Islam. Mungkin Allah belum lagi mahu memperkenankan doa saya atau ada hikmah di sebaliknya.
 
Kalau boleh saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang, mengingati ki­sah lalu tapi bagai mana mungkin? Namanya pun anak walaupun buat ­buat tidak ingat dan mulut mengatakan tidak mahu mengingatinya tetap juga teringat.
 
Ramadhan datang lagi, ingatan kepada Intan semakin menebal. Dua puluh satu tahun lalu pada malam 1 Ramadhan, Intan dibawa lari oleh mereka. Ketika sedang menunaikan so­lat sunat tarawih di masjid, saya diberi­tahu. Intan sudah lari. Seorang anak yang baik, taat, mendengar kata dan manja pergi meninggalkannya mengi­kut seorang lelaki asing.
 
Bermula daripada hari itulah Intan hilang hingga ke hari ini. Saya tidak pernah lupa pada tarikh itu, tarikh Intan dilarikan daripada saya, ayahnya. Tiada apa lagi yang mampu memberi­kan kegembiraan dan kebahagiaan buat diri ini selain anak-anak dan cucu. Di situlah tempat saya akan mengakhiri sisa-sisa hidup.
 
Di manakah silap, saya sebagai seorang ayah yang telah memberinya sepenuh didikan agama dan menatang bagai minyak yang penuh. Bagaimana hari ini harus mempercayai apa yang telah berlaku sedangkan dia memang anak yang baik, dia tidak pernah ting­gal solat dan rajin membaca al-Quran. Di dalam soal agama dia memang tegas, pantang baginya apabila melihat adik-adik tidak sembahyang dan eng­gan mengaji. Lengkap pengetahuan agamanya tapi kenapa dia memilih untuk berpaling tadah kepada agama lain?
 
"Kalau Intan boleh mendengar saat ini tentu Intan masih ingat cerita semasa di ITM dulu. Ingat tidak masa itu pensyarah suruh Intan menghafal surah Yasin, al-Kahfi, as-Sajadah, al­Waqiah dan surah al-Mulk."
 
 
Ingatan pantas berlari mengingati detik itu, saya berusaha membantunya dan saya dapatkan untuknya sebuah kaset mengaji untuk dia menyemak bacaannya ketika di asrama. Rasa bangga juga, dengan dorongan dan usaha itu Intan dapat menghafal semua surah yang diminta oleh pensyarah.
 
Setiap saat saya berdoa agar segala ilmu agama yang telah saya ajarkan dan yang pernah dipelajari di sekolah di­amalkan sepenuhnya. Sejuk dada saya setiap kali memandang wajahnya, de­ngan pekerti dan sopan santun. Kalau dari segi paras rupa, Intan memang tidak kurang cantiknya, manis dan lemah lembut. Tidak hairanlah jika dia menjadi perhatian di kalangan teman­ teman sekuliahnya.
 
Selepas tamat belajar dia terus dita­warkan bekerja di Citi Bank Kuala Lumpur. Baru setahun bekerja tetapi sudah tiga kali dia naik gaji dan lepas itu dia dapat sijil kepujian daripada Amerika Syarikat (AS). Saya pun hai­ran dengan perkara, itu, kalau. benar Intan bagus bekerja takkanlah dalam' setahun pertama dia kerja sampai tiga kali naik gaji dan boleh dapat sijil kepujian.
 
Sehinggalah pada suatu hari saya menerima panggilan telefon darinya, "Abah, Intan dah berhenti kerja. Intan nak ikut kawan pergi Negeri Sembilan. Ini alamat baru, Intan."
 
Gagang telefon terus diletak, saya terkedu, "Apa dah jadi dengan Intan ni, lain macam saja," saya luahkan perasaan tidak senang kepada bapa, saudara dan adik-beradik Intan.
 
Keesokan pagi saya berpakat adik ­beradik pergi ke alamat yang Intan berikan. Sampai di tempat tersebut, saya pujuk Intan balik, tapi dia suruh saya jumpa peguamnya. Apa yang sebenarnya terjadi saya keliru, masakan untuk berjumpa anak sendiri harus melalui peguam. Dia darah daging saya, kenapa hen­dak membawanya balik ke kampung saya harus berurusan dengan peguam. "Intan, ini abah. Intan tak kenal abah lagi?" keluh saya merenung muka anak yang, kelihatan bingung.
 
Disebabkan perasaan kasih dan tanggungjawab sebagai ayah, saya dan keluarga pergi ke pejabat peguam di Kuala Lumpur. Sebaik sahaja kami sampai Intan pun tiba bersama teman lelakinya. Intan salam saya dan saya terus peluknya sementara ahli keluar­ga, yang lain menarik Intan masuk ke dalam kereta, kami bawa dia pulang ke Johor. Di dalam perjalanan Intan hanya tunduk diam, saya tengok dia macam orang keliru, kebingungan dan serba tidak kena.
 
Intan hanya sempat bersama kami selama beberapa hari sahaja. Sehing­galah pada 1 Ramadhan 1989, Intan dilarikan. Selepas itu tidak ada lagi senyum manisnya dan hilang sudah rengekan manja Intan. Entah sam­pai bila saya mampu bertahan untuk menanti kepulangannya. "Intan... abah tak salahkan Intan dan abah tak marah­  Intan. abah tahu Intan telah diper­dayakan oleh mereka. Intan... abah sayangkan Intan".
 
Al Islam Oktober 2009
 
** image di scan dari sumber asal