21 February 2011

“Manusia semuanya tidur, bila mati baru mereka terjaga"

Kekadang kita terkejut dengan ungkapan-ungkapan yang kedengarannya begitu aneh. Ungkapan yang bukan dilahirkan oleh orang yang biasa, tetapi manusia yang luar biasa. Mereka yang mengucapkannya adalah hukama, ulama dan bijak pandai yang begitu arif tentang kehidupan. Ada ungkapan yang berbunyi:

“Barang siapa yang ingat mati akan hidup… tetapi mereka yang ingat hidup akan mati.”

Ah, aneh. Mengapa begitu ya… Mari kita telusuri apa makna tersirat di sebaliknya. Bukan sekadar untuk bermain dengan kata-kata tetapi dengan berpijak pada ilmu dan pengalaman yang nyata. Justeru kata-kata itu hanya membenarkan sahaja apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya:

“Yang paling banyak mengingati kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.
Riwayat Imam Ibnu Majah

Mari kita kembara seketika untuk mengungkap cebisan rahsia kematian dan kehidupan yang hakikat adalah ujian bagi setiap insan. Firman Allah:

“Dia yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji antara kamu siapakah yang terbaik amalannya.”

Apakah kaitan antara hidup dan mati? Apakah rahsia di sebalik kata-kata bahawa mati itu adalah tunang kepada kehidupan? Justeru, marilah kita ‘kembali’ sebelum pergi menemui kehidupan yang abadi!
Sayidina Ali karamallahuwajhah pernah berkata:

“Manusia semuanya tidur, bila mati baru mereka terjaga (tersedar).”
 
Kata-kata itu sungguh dalam dan tersirat maknanya. Ia bermaksud, hanya apabila seseorang itu telah mati barulah hakikat atau realiti kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.

Pendek kata, mati adalah ‘program realiti’ yang benar-benar realiti. Setelah roh berada di alam barzah (yakni alam kubur yang menjadi sempadan antara dunia dan akhirat), barulah kebanyakan manusia sedar apakah perkara yang benar-benar bernilai dalam hidupnya ketika hidup di dunia. Bila mata yang ada hancur dimamah bumi, maka ketika itulah matahati yang alpa selama ini tersentak… Terbeliak, lalu ketika itu barulah terserlah yang mana ‘intan’, yang mana ‘kaca’?

Menjelang kematian, setiap diri akan akur betapa bernilainya kebaikan dan kebajikan. Itulah hakikatnya intan yang selama ini dianggap kaca. Dan pada saat itu barulah kita sedar betapa intan yang selama ini kita puja hakikatnya kaca yang tidak berharga. Itulah perbuatan dosa dan perkara yang sia-sia. Alangkah ruginya ketika hidup di dunia. Kita tersentak!

Manusia baru tersedar apakah hakikat kehidupan yang sebenar setelah kematian. Dan lebih malang lagi rupa-rupanya baru pada ketika itu manusia menyedari bahawa mati sebenarnya bukanlah satu pengakhiran, tetapi ia adalah satu permulaan kepada satu kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi (hidup di akhirat kekal abadi).

Manusia telah diingatkan bahawa di alam roh kita telah mengenal Allah. Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172

Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob yang sebenar (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan jatuh cinta kepada-Nya.

Namun alangkah sedikitnya manusia yang benar-benar mengenal Allah. Kebanyakan manusia hanya ‘mengetahui’ tetapi tidak mengenali-Nya. Mengenal dan mengetahui itu jauh berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Mengenal hanya memahami, tetapi mengenali akan merasai. Kebanyakan kita hanya mengetahui Allah Maha Melihat, tetapi tidak merasai Allah Maha Melihat. Justeru, kita masih tega dan tergamak melakukan kemungkaran walaupun kita tahu Allah Maha Melihat.

Bermula da Di alam roh dahulu hati kita yang telah mengenal Allah. Pendekata, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah. Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu ramai manusia yang mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta palsu.

Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu ramai manusia yang mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta palsu.

Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi… Semakin bertambah usia, semakin jauh jarak perpisahan itu.

Pepatah Arab ada mengatakan, manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Jadi, bila cinta itu sudah tersalah, maka tersalah jugalah ramai manusia meletakkan sifat kehambaannya. Hidup beralih arah, daripada menghambakan diri kepada Allah kepada ‘menyembah’ hawa nafsu. Firman Allah:

“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?”
Al-Furqon 43

Akibatnya, tujuan hidup telah tersasar. Ini kerana hanya manusia yang menyedari adanya Tuhan dan memperhambakan diri kepada-Nya sahaja, akan mempunyai tujuan hidup yang tepat dan jelas. Manusia tidak akan tahu apa tujuan hidup, kerana manusia tidak pinta dihidupkan. Allah yang menghidupkan kita, maka Allah jualah yang Maha Mengetahui untuk apa manusia dihidupkan. No God, No purpose! – tanpa Tuhan tidak ada tujuan.

Setelah terantuk (mati), barulah dia terngadah (sedar). Rupa-rupanya apa yang diburu selama ini hanyalah kepalsuan manakala apa yang dihindari adalah kebenaran. Ah, betapa tersasarnya langkah hidup selama di dunia, setelah mati baru terjaga. Pada ketika itu jugalah ramai yang mengharapkan agar dapat pulang ke dunia semula. Minta untuk dipanjangkan umur, bagi menukar perbuatan yang buruk selama hidup di dunia dulu dengan amalan kebaikan.

Di alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’ kepada kita, barulah kita terjaga daripada buaian ‘mimpi’ selama ini. Tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa hakaikatnya hidup ini adalah untuk menghambakan diri kepada Allah – beribadah kepada-Nya. Rasa ingin bertaubat singgah dengan tiba-tiba. Terasa dosa yang dilakukan begitu banyak, bagaikan bueh di lautan.

Sayangnya, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana pada saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Jadi, kesedaran itu mesti dirasai semasa hidup di dunia lagi, barulah ia mempunyai makna dan berguna. Apabila hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran akan hakikat kematian, maka barulah seorang manusia akan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan.

Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya berlaku di alam kubur , maka segala-galanya sudah terlambat. Jadi bertaubatlah sebelum terlambat, kembalilah ketika masih sempat! Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang bijak. Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang hidup. Merekalah orang yang berani. Dan orang yang berani tidak pernah mati – the brave never die!

Bagaimana untuk mengembalikan semula manusia kepada asas dan teras jati dirinya yakni sebagai hamba Allah? Atau rengkasnya, bagaimana hendak mencapai ketenangan dalam hidup yang serba mencabar ini? Inilah yang menjadi teras persoalan dalam nasyid yang bertajuk ‘Kembali’ ini. Kembali di sini bermaksud, kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah.

Roh yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Hati yang tenang ialah hati yang mengingati Allah. Firman Allah:

“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
Ar-Ra’du: 28

Inilah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga selalunya perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat, kita rela menelan kepahitan, kita rela menanggung ke[peritan berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua itu enak rasanya. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stresss… kita ikuti, patuhi walaupun begitu ‘berat’ untuk mendapat sihat.

Maka begitulah jalan untuk ‘mengubat’ hati. Penawarnya juga pahit. Ubat hati jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati? Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia. Kata ulama, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras. Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit.

Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan nama-Nya yang baik dan mulia. Ingat, ilmu wahyu akan menerangi hati, manakala ilmu dunia akan menerangi kehidupan. Hakikatnya ubat hati ialah ilmu-ilmu yang diambil daripada Al Quran.

Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah mendirikan solat. Solat lima waktu adalah silah (penghubung) antara hamba dengan Tuhan. Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segala gerakan dan bacaan itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri bersungguh-sungguh.

Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi. Apatah lagi ‘penawar’ yang datang daripada Allah – Tuhan yang mencipta kita. Al Quran dan solat tentulah akan lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingatlah solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya. Ingat selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain, no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah jalannya… jalan mujahadah.

Seperti sakit fizikal yang perlu pada pantang larangnya, begitu jugalah ‘sakit hati’ , juga ada pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi oleh makan ‘racun’. Maksudnya, apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan? Atau pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga minum teh tarik yang manisnya keterlaluan? Penyakit tidak akan sembuh, jika melanggar pantang. Bahkan, pengamal perubatan sering menegaskan bahawa berpantang lebih baik daripada berubat.

Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga. Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Sebaik-baiknya carilah kawan yang seiya sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.

Untuk buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Untuk buat baik perlu ada ‘jamaah’ – kumpulan yang bersatu untuk melakukan kebaikan. Bila ada perkumpulan, usrah atau jamaah, maka tentu ada program-program yang tersusun dan berkala. Program yang positif boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu Ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh perkumpulan itu.

Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’. Bahkan rasululah SAW sendiri pernah menegaskan bahawa nikmat yang sering memperdayakan manusia ialah masa lapang dan kesihatan tubuh badan.

Masa lapang ini perlu diisi dengan kesibukan belajar menuntut ilmu dan pelbagai usaha untuk memperbaiki diri. Dengan adanya program-program ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan. Mula-mula kita membentuk program dan akhirnya program akan membentuk kita. Inilah pentingnya program yang baik, kita akan terdisiplin melakukan kebaikan walaupun ada masa-masanya kita diserang rasa jemu, malas dan godaan-godaan jahat.  Inilah sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang muda masa kini

Kata Sayidina Ali lagi:
“Beramallah ketika di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi hanya ada amalan (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada amal (akhirat).”

Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur, yang mana pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi. Berjuanglah menghadapi kemalasan dan kejahatan diri sendiri. Malulah kalau kita kalah dengan diri sendiri. Jangan hanya malu jika ‘kalah’ dengan orang lain. Biasanya orang yang menang dalam bertanding dengan dirinya sendiri akan menang juga dalam pertandingan dengan orang lain – Only me can beat me!”

Benar, anda sahaja boleh mengalah diri anda sendiri. Jadi bertandinglah dengan diri sendiri, dengan mengalahkan rasa malas, menundukkan sifat malu tidak bertempat, mengatasi rasa takut yang tidak kena pada masanya dan lain-lain sifat negatif. Jangan terkeliru dengan anggapan bahawa remaja hanya sekali, lalu kita mesti ‘enjoy’ sepaus-puasnya. Remaja sebenarnya dua kali – satu di dunia, satu lagi di akhirat. Remaja di dunia akan diakhiri oleh usia tua. Tetapi remaja di akhirat kekal selama-lamanya (ahli syurga semuanya dalam usia remaja).

Gunakan masa remaja di dunia untuk mencapai keremajaan yang lebih bermakna di akhirat. Oleh itu kembalilah!


No comments:

Post a Comment