24 November 2013

Nikmat Ujian

“ada manusia,
dibentuk dari bahagia.
ada manusia,
dibentuk dari kecewa dan luka.

ada manusia,
dibentuk dari patah hati.

ada manusia yang dibentuk dari nikmat,
dan ada pula manusia yang dipilih untuk dibentuk dari ujian.

dan Allah lah yang akan memilihkan,
apa yang DIA inginkan untuk manusia itu.”




2013?

2013 tidak lama lagi bakal berlalu pergi membawa sejuta kenangan yang akan kekal terpahat di dalam hidup saya. Ujian, harapan, tangis dan ketawa datang dan pergi. Di usia 26 tahun ini saya merasakan ‘kehidupan’ saya yang sebenar baru sahaja bermula. Sebelum ini, setiap keputusan yang saya buat adalah untuk hal-hal ‘kecil’ dan untuk kebaikan diri saya seorang sahaja. Sehinggalah apabila Allah mengizinkan untuk saya ‘dijentik’ dengan ujian. Ujian yang menjadikan diri saya lebih dekat denganNya dan lebih mengutamakan Allah dan Rasul dari segala-galanya. Kadangkala saya merasakan ujian ini menjadikan saya seorang yang ‘berhati keras’. Saya semakin immune dengan kata-kata dan sikap orang yang hasad dan tidak menguntungkan.


Saya juga antara yang terkesan dengan Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam. Kembalinya Allahyarham ke rahmatullah telah meledakkan jiwa-jiwa anak muda yang masih Allah izinkan di saat gelombang akhir zaman menghanyutkan majoritinya. Allahyarham kembali di usia 20 tahun dengan ilmu dan manfaat kepada masyarakat yang bukan calang-calang jiwa memilikinya. Sedang saya di usia 26 tahun ini masih banyaknya lalai dan asyik merencana kesempurnaan dunia. Saya bersyukur kerana saya berada disekeliling insan-insan yang sentiasa ramah berkongsi ilmu dan teguran. Selagi tidak bergolek-golek di dalam Syurga, jangan fikir kau mampu hidup selesa!